suria

KP MSN Baharu Bukan Hanya Obses Pingat Emas - Khairy

Khairy Jamaluddin.

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) baharu mesti mempunyai pandangan dan perancangan yang menyeluruh untuk pembangunan sukan negara dan bukan hanya obses dengan pingat emas, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau, yang mula menemuduga empat daripada lapan calon bagi mengisi jawatan berkenaan pada Isnin berkata, calon yang terpilih juga perlu mempunyai pandangan dan visi yang sepadan dengan visi beliau.

"Saya ada visi sendiri dan saya akan lihat sama ada pandangan calon berkenaan sepadan atau ada keserasian dengan visi saya atau tidak," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Khairy ditemui selepas menyaksikan majlis menandantangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dengan UEM Group Bhd dan Nilai Springs Resort Sdn. Bhd., bagi pelatih IKBN mengikuti latihan industri di kedua-dua organisasi tersebut di sini.

Iklan bagi jawatan Ketua Pengarah MSN dipaparkan pada laman web rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 4 Nov lepas bagi mencari pengganti kepada Datuk Seri Zolkples Embong.

Zolkples dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Sukan SEA 2017, di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah temasya sukan itu pada tahun tersebut.

Ditanya mengenai pendengaran kes Datuk Lee Chong Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Khairy berkata tarikh perbicaraan hanya dapat diketahui selepas tahun baharu.

"Mungkin kita akan berdepan sesi perbicaraan pada awal tahun depan. Pun begitu saya difahamkan  hujah sudah disediakan dengan baik oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan peguam. Saya rasa kita dah buat yang terbaik dari segi persiapan," katanya.

Chong Wei kini digantung sementara waktu oleh BWF selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang 'dexamethasone' ketika beraksi dalam Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lepas.

Artikel Berikut

Artikel Lain