suria

Man United Buru Gelaran Juara

Van Persie dan Rooney meraikan gol yang dijaringkan Mata ketika pasukan itu menentang Liverpool yang berakhir dengan kemenangan 3-0 awal pagi Isnin.

LONDON: Hasrat untuk menewaskan Liverpool di Old Trafford menjadi kenyataan apabila Manchester United memperoleh kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut menerusi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Isnin.

Malahan, barisan pemain pasukan United sendiri sememangnya mahu menghadiahkan kemenangan kepada penyokong setianya di padang sendiri dan percaturan mereka berbaloi apabila menundukkan musuh tradisi, Liverpool 3-0.

Pengendalinya, Louis van Gaal percaya, United kini di landasan betul untuk dinobatkan sebagai juara EPL musim ini, manakala kegagalan berterusan Liverpool nyata menambahkan beban bagi Brendan Rodgers.

Jaringan yang dihasilkan Wayne Rooney, Juan Mata and Robin van Persie itu menyaksikan United kini hanya ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Chelsea selepas 16 perlawanan dengan Liverpool menambah rekod kekalahan kepada tujuh.

"Bagi saya, perlawanan yang paling penting adalah saingan seterusnya. Kami menang enam perlawanan berturut-turut dan ia sesuatu yang hebat tetapi corak permainan perlu diperbaiki dan ia sesuatu yang berulang kali saya katakan pada setiap minggu.

"Hanya selepas perlawanan menentang QPR dan Hull saya berkata: "Ok, kita mendominasi sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung," kata pengurus pasukan itu.

"Bagaimanapun ia tidak berlaku pada perlawanan menentang Liverpool dan ia perlu diperbaiki. Bagaimanapun saya gembira kerana hasrat untuk menang ketika menentang pasukan itu menjadi kenyataan dan ia menggembirakan semua pihak."

Gol pertama United dijaringkan Rooney pada minit ke-12 menerusi satu serangan balas pantas selepas Liverpool gagal menyempurnakan peluang terhidang menerusi Raheem Sterling.

Seterusnya, gawang Liverpool diledakkan menerusi pemain tengah Sepanyol, Juan Mata, diikuti gerakan di sebelah kiri padang oleh Ashley Young yang menghantar bola tinggi kepada Robin Van Persie yang ditanduk sebelum disambut Juan Mata juga menerusi tandukan pada minit ke-40.

Gol ketiga United pada minit ke-70 pula dimulakan Rooney dari kiri padang ke kawasan penalti yang tepat ke kaki Mata sebelum melepaskan hantaran kepada Van Persie di sebelah kanan yang tidak mensia-siakan peluang meledak gol kemenangan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain