suria

Mohd Zamri Sekali Lagi Raih Kemenangan Di Peringkat JM2014

Peserta adik beradik dari pasukan Terengganu Cycling (TSG), Mohd Zamri Saleh (tengah) mendahului peserta lain dengan catatan 4:07:11 minit manakala adiknya, Hariff Salleh (kiri) menduduki tempat kedua pada perlumbaan peringkat ketiga Jelajah Malaysia 2014 dari Dataran Nilai, Negeri Sembilan ke Alor Gajah, Melaka sejauh 171.1 km di Alor Gajah, Isnin. Peserta dari Skydive Dubai Pro Cycling, Soufiene Haddi (kanan) menduduki tempat ketiga. Jelajah Malaysia 2014 berlangsung selama lima hari bermula dari 13 Disember hingga 17 Disember. Foto BERNAMA

ALOR GAJAH: Pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Salleh sekali lagi mencipta kejayaan bergaya pada edisi ke-50 perlumbaan berbasikal Jelajah Malaysia 2014 (JM2014). 

Selepas memberikan kemenangan 1-2 kepada pasukan TSG semalam, Mohd Zamri dan adiknya, Mohd Harrif sekali lagi meraih kemenangan 1-2 pada peringkat ketiga JM2014 sejauh 171.1km bermula dari Dataran Nilai, Negeri Sembilan dan tamat di Dataran Keris di sini, Isnin.

Perlumbaan yang sekali lagi berakhir dengan pecutan berkumpulan menyaksikan Mohd Zamri terlebih dahulu berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa empat jam, tujuh minit dan 11 saat.

"Kami memang yakin dapat mengejar kelompok pendahulu. Saya dan Mohd Harrif memang sudah bersedia untuk membuat henjutan di beberapa kilometer terakhir. 

"Saya bersyukur kerana percaturan untuk memenangi peringkat ini berjaya," kata pelumba berusia 31 tahun itu.

Seorang lagi pelumba TSG, Muhd Shaiful Anwar Azis (Azis) terus mengekalkan jersi putih selaku pelumba terbaik Malaysia selepas tiga peringkat perlumbaan.

"Saya dan rakan-rakan dalam pasukan akan terus berusaha untuk mengekalkan jersi ini. Selain mengekalkan jersi putih, saya juga akan cuba untuk meraih jersi biru (Terbaik Asia)," katanya.

Selepas tiga peringkat, Muhd Shaiful Anwar mengumpul masa 11:44:27s, hanya berada 0.06 saat di belakang penyandang jersi biru setakat ini iaitu pelumba pasukan kebangsaan Hong Kong, Ho Burr. 

Perlumbaan peringkat ketiga juga menyaksikan jersi hijau berpindah tangan selepas pelumba pasukan Pegasus Continental Cycling Team dari Indonesia, Arin Iswana berjaya merampasnya daripada Rafaa Chtioui daripada pasukan Skydive Dubai Pro Cycling Team dengan mengumpul 34 mata.

Sementara itu, Rafaa terus mengekalkan jersi kuning selepas mengumpul 11:44:02s dan jersi merah (Raja Bukit) masih menjadi milik Dani Lesmana, juga dari pasukan Pegasus Continental Cycling Team dengan 12 mata. 

Peringkat keempat perlumbaan esok sekali lagi memberi peluang kepada pakar-pakar pecut menambah mata memandangkan laluan berkenaan tidak melibatkan zon pendakian. 

Perlumbaan sejauh 147.3km dari Paroi ke Putrajaya itu melibatkan tiga zon pecutan di Bagan Lalang, Tanjung Sepat dan Dengkil.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain