suria

Cub Prix: Alor Setar Jadi Litar Pusingan Akhir Musim 2014

SELEPAS dua tahun, Alor Setar kembali ke kalendar Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bagi musim 2014 ini yang dijadualkan akan berlangsung di Taman Jubli Emas, Alor Setar, Kedah pada 28 dan 29 November ini.

Kali terakhir Kedah berada dalam kalendar Cub Prix adalah pada tahun 2011 dimana menyaksikan Elly Idzlianizar Ilias muncul juara kategori utama CP130 ketika perlumbaan berlangsung di Stadium Darul Aman. |

Kedah juga bukan negeri asing bagi peminat Cub Prix di mana Langkawi pernah menjadi tuan rumah pada tahun 1995 manakala Sungai Petani menjadi hos untuk dua tahun berturut-turut pada tahun 1998 dan 1999.

Memasuki perlumbaan terakhir bagi musim 2014, kemenangan di pusingan kesembilan di Jempol telah mengesahkan kedudukan Mohd Zaqhwan Zaidi dari pasukan Givi Honda Yuzy Racing selaku juara keseluruhan CP130 setelah selesa di tangga teratas dengan 161 mata. 

Persaingan kali ini tertumpu kepada perebutan gelaran naib juara keseluruhan dan tempat ketiga diantara pelumba rookie musim 2014, Ahmad Afif Amran dan rakan sepasukan PETRONAS Yamaha-CKJ, Mohd Affendi Rosli serta Norizman Ismil (Harian-Metro Y-TEQ SCK Honda Racing).

Keputusan serupa bagi kategori CP115 di mana gelaran juara keseluruhan telahpun menjadi milik pelumba Motul Yamaha YY Pang selepas Izzat Zaidi Salehan berjaya memenangi perlumbaan di Jempol dan mengumpul 178 mata termasuk lima gelaran juara pusingan mengatasi rakan sepasukan, Zaidy Mohd Zaifaizal di kedudukan keedua dengan 148 mata.

Pertembungan menarik diantara Tengku Amirul Haffirudin dan Mohd Amirul Ariff Musa bakal menentukan siapa yang akan berada di tangga ketiga keseluruhan setelah kedua-duanya hanya dibezakan dengan 12 mata ketika ini.

Sekalipun telah dinobatkan selaku juara keseluruhan Wira seawal pusingan kelapan di Kangar, Khairul Idham Pawi (Kozi Yam Honda Racing) dijangkakan akan terus memberikan aksi terbaik di Alor Setar bagi meraih kemenangan kesembilan dari 10 pusingan pada musim ini.

Manakala Saiful Azhary Muhamad yang turut mengesahkan kedudukan selaku juara keseluruhan Cabaran Honda Future akan cuba meraih satu lagi keputusan juara pusingan disamping berusaha untuk meraih kedudukan podium apabila turut beraksi dalam kelas Wira.

Perlumbaan hujung minggu akan datang bakal menyaksikan persaingan sengit diantara Mohd Imran Zulkafli dan Mohd Hafiz Amirudin untuk merebut gelaran keseluruhan kategori Pro-Am Cup.

Perbezaan hanya sembilan mata ketika ini manakala hanya tiga mata membezakan kedudukan diantara pendahulu Mohd Afizi Supaat dan Mohd Irfan Rosnizam di dalam kategori Super Siri Yamaha 135 PETRONAS. 

Cub Prix, Alor Setar, pusingan akhir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain