suria

Norza Dilantik Ketua Kontinjen Sukan SEA Singapura 2015

Mohamad Norza Zakaria.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohamad Norza Zakaria dilantik sebagai ketua kontinjen Sukan SEA Singapura 2015 oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), pada Rabu.

Mohamad Norza berkata, beliau akan dibantu oleh dua timbalan iaitu Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Dr. S. Shamala manakala seorang lagi timbalan belum diputuskan.

Pelantikan Mohamad Norza itu dibuat pada mesyuarat pengurus pasukan kontinjen Sukan SEA Singapura, dihadiri 35 pengurus persatuan sukan. Sukan SEA Singapura akan diadakan pada 5-16 Jun 2015.

"Terima kasih kepada MOM kerana telah melantik saya sebagai ketua kontinjen bagi Sukan SEA di Singapura tahun depan.

"Saya menyifatkan pemilihan ini adalah satu tugas yang mencabar kerana tahun ini prestasi kontinjen negara pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia merundum," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat pengurus pasukan Sukan SEA di Wisma MOM di sini.

Mohamad Norza berkata, Malaysia akan menyertai 35 acara daripada 36 jenis sukan yang dipertandingkan. Kontinjen negara tidak akan menyertai acara perlumbaan bot tradisional pada temasya dwitahunan itu.

Katanya acara karate tidak dipertandingkan.

"Karate merupakan antara lubuk pingat emas pada Sukan SEA, walaupun begitu masih ada lima acara baharu yang dipertandingkan dan kita berharap acara tersebut dapat menyumbangkan pingat emas kepada kontinjen," katanya.

Empat acara baharu yang dipertandingkan adalah lawan pedang, floor ball, bola jaring, ragbi dan ski air. 

"Dala  perbincangan awal hari ini, kita mencadangkan kontinjen akan menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Singapura, setiap pengurus pasukan perlu meneliti perkara ini dan memberikan respons kerana kita masih mempunyai masa," katanya.

Mohamad Norza turut mengingatkan setiap persatuan sukan yang terlibat perlu memandang serius isu doping dan atlet dinasihatkan lebih berhati-hati dalam mengambil sebarang suplemen.

Untuk rekod, kontinjen negara meraih 43 pingat emas, 38 pingat perak dan 77 pingat gangsa pada edisi 2013 di Myanmar.

Artikel Lain