suria

Dollah Akui Kehebatan Myanmar Pada Piala AFF Suzuki 2014

Dollah Salleh.

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh, tidak memandang rendah keupayaan Myanmar yang menjadi lawan pertama skuad negara pada aksi pembukaan kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014, di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Ahad ini.

Pengendali kelahiran Melaka itu mengakui jentera serangan Myanmar yang diketuai Kyaw Ko Ko mampu memberi ancaman kepada skuad negara dan menuntut barisan pertahanan untuk bekerja keras mengekang asakan penyerang kelab Yangon United FC itu.

"Saya dan (penolong jurulatih) Mohd Reduan Abdullah ke Laos baru-baru ini bagi melihat sendiri keupayaan pasukan bertanding (pada pusingan kelayakan Piala AFF Suzuki) dan saya akui Myanmar sebuah pasukan yang agak hebat. 

"Bagi saya, kekuatan mereka di bahagian serangan dan saya nampak beliau (Kyaw Ko Ko) adalah tonggak utama pasukan Myanmar. Saya akan ingatkan pertahanan kita supaya awasi pemain ini," kata Dollah selepas sesi latihan terakhir skuad negara di padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, Khamis.

Dollah turut mengakui pemain masih cuba menyesuaikan diri dengan aksi di padang rumput tiruan bagi menghadapi dua perlawanan awal kumpulan B termasuk aksi kedua menentang Thailand pada 26 November ini, di Stadium Jalan Besar.

"Pemain masih menyesuaikan diri dengan padang (tiruan) dan saya lihat ada peningkatan dalam kalangan pemain. Myanmar dan Thailand juga akan menghadapi perkara yang sama (beraksi di atas padang rumput tiruan) di Stadium Jalan Besar," kata Dollah.

Malaysia hanya akan beraksi di padang rumput biasa di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub menentang Singapura pada 29 November ini.

Sementara itu, pemain veteran negara Mohd Shukor Adan menggesa rakan sepasukan untuk mengutip tiga mata penuh dalam dua aksi awal menentang Myanmar dan Thailand bagi mencerahkan peluang skuad negara ke separuh akhir.

"Yang penting perlawanan menentang Myanmar dulu di mana kita perlu mencuri mata bagi menaikkan semangat untuk berdepan lawan seterusnya. Dalam bola sepak, apa-apa boleh berlaku, jadi yang penting pemain memberi fokus sepenuhnya," kata kapten kelab Felda United FC itu.

Berkongsi pandangan sama pemain tengah Harimau Muda A, Gary Steven Robbat  bahawa pemain begitu bersemangat bagi menghadapi edisi ke-10 kejohanan bola sepak melibatkan negara Asia Tenggara itu.

Pemain kelahiran Kedah itu turut mengakui persaingan sengit merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan negara terutama di bahagian tengah dan beliau bertekad untuk menampilkan aksi terbaik jika diberi kepercayaan oleh jurulatih jika disenaraikan.

Skuad Harimau Malaya bakal berlepas ke Singapura esok sebagai persiapan awal menghadapi kejohanan bola sepak dwitahunan itu.

Artikel Sebelum

Vettel Sah Sertai Ferrari

Artikel Lain