suria

Antonio Conte Diumum Jurulatih Itali Yang Baharu

Antonio Conte
ROME: Bekas jurulatih Juventus Antonio Conte, dinamakan sebagai jurulatih baharu bagi Itali pada Khamis, dengan kontrak dua tahun, umum Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC).

Conte, 45, telah disebut-sebut sebelum ini bagi menggantikan Cesare Prandelli, yang meletak jawatan selepas Itali tersingkir pada pusingan pertama Piala Dunia di Brazil.

Presiden FIGC Carlo Tavecchio berkata Conte, yang akan mendapat bayaran 2 juta euro setahun, akan hadir pada sidang akhbar di Rome, Selasa.

Perlawanan pertama yang dipertanggungjawab kepada Conte adalah pada 4 September di mana Itali akan berdepan Belanda dalam perlawanan persahabatan.

Lima hari kemudian, Itali memulakan kempen Kumpulan H kelayakan Euro 2016 di Norway.

Dengan kontrak yang berjalan sehingga 31 Julai 2016, Conte mempunyai misi "untuk melancarkan semula pasukan kebangsaan dan membangunkan pemain baharu dari seluruh pusat latihan persekutuan itu," kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh FICG.

Persekutuan itu berkata kontrak dengan Conte telah dibuat dengan sokongan kewangan syarikat gergasi sukan Puma.

Conte juga boleh meningkatkan pendapatan dengan bonus jika pasukannya tersenarai dalam Euro 2016 serta memperbaiki ranking dunia pasukannya.

Pasukan negara kini berada di tangga ke- 14.
Antonio Conte, Itali

Artikel Lain