KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek dilaporkan kembali menjalankan tugasnya pada Rabu tetapi krisis beliau dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum berakhir. Kini, Rashid perlu menjawab surat tunjuk sebab yang diserahkan persatuan itu kerana membuat kenyataan secara terbuka untuk menarik diri sebagai ketua projek untuk Sukan Komanwel di Glasgow. Surat tersebut diserahkan sebelum kejohanan tersebut pada Julai lalu dan beliau diberi masa selama dua minggu untuk memberikan penjelasan. Pemilihan Liew Daren pada Sukan Komanwel mendapat kritikan hebat sebaik sahaja pasukan itu kembali dari Glasgow, minggu lalu. Di Glasgow, pemain dibawah kendaliannya - Chong Wei Feng dan Daren - gagal melepasi pusingan suku akhir. Rashid berkata, beliau akan kekal fokus dengan tugasnya sehingga kontrak berakhir Disember ini. "Saya tidak berhasrat untuk berundur. Saya masih kekal dan akan meneruskan tugas sebagai ketua jurulatih perseorangan. Saya seorang yang profesional. Saya tiada niat untuk menentang sesiapa," katanya. Ketika ditanya mengapa beliau mengambil keputusan untuk kekal walaupun hubungannya dengan presiden regang, Rashid berkata: 'Terdapat banyak perkara yang belum diselesaikan.' "Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah bercakap dengan saya pada Selasa. Beliau meminta saya untuk bersabar dan bertenang mengenai perkara ini. Timbalan Presiden BAM, Datuk Norza (Zakaria) pun ada bercakap dengan saya," katanya. "Buat masa ini, saya komited untuk melatih pemain bagi persiapan Kejuaraan Dunia dan Sukan Asia. Itu fokus saya. Pada tahun lalu, Rashid membuat keputusan untuk berundur kerana tidak berpuas hati dengan perubahan yang dilakukan BAM tetapi mengubah fikiran selepas dipujuk Khairy.