suria

Manchester United Haramkan Ipad & Tablet Dibawa Masuk Ke Old Trafford

Old Trafford, gelanggang Manchester United kini memperkenalkan peraturan baru tidak membenarkan penonton membawa masuk Ipad dan tablet mulai musim baru ini.

BEKAS juara Liga Perdana Inggeris, Manchester United telah mengambil satu keputusan yang tidak popular dengan mengharamkan para penonton daripada membawa masuk Ipad dan apa jua jenis tablet ke dalam gelanggang mereka, Old Trafford musim ini.

Keputusan ini diambil kerana kini terdapat kecenderungan para pengguna Ipad dan tablet merakamkan sebahagian besar aksi perlawanan di dalam stadium.

Tindakan tersebut juga telah didapati menghalang pandangan penonton di barisan belakang.

Kelab-kelab dalam liga perdana terikat dengan perjanjian hak eksklusif siaran secara langsung dengan stesen televisyen dan tindakan penonton atau penyokong merakamkan perlawanan menggunakan peralatan seperti Ipad dan tablet boleh dianggap sebagai mencabul hak tersebut.

Ini kerana mereka yang merakamkan perlawanan menggunakan Ipad dan tablet boleh memuat naikkan hasil rakaman mereka di dalam You Tube dan platform lain.

Perlawanan pertama di gelanggang sendiri musim ini ialah perlawanan persahabatan menentang Valencia pada petang Selasa waktu tempatan dan para penyokong, pemegang tiket serta pas bermusim telah menerima kiriman emel berhubung peraturan baru yang akan dikuatkuasakan serta merta.

"Pihak kelab ingin memaklumkan dan mengemaskinikan maklumat mengenai polisi terbaru dalam semua perlawanan di gelanggang sendiri musim ini iaitu  para penyokong dan penonton tidak lagi dibenarkan membawa masuk peranti elektronik yang bersaiz besar seperti yang berukuran melebihi 150mm x 100mm ke dalam stadium.

"Misalnya peralatan seperti Ipad atau tablet mahupun komputer riba kini dilarang sama sekali dibawa masuk ke dalam stadium. Juga barang-barang yang turut dilarang dibawa masuk ke dalam stadium musim ini ialah beg galas bersaiz besar, kamera bersaiz besar serta cecair (melainkan botol air bersaiz kecil). Terima kasih di atas kerjasama anda," demikian menurut kandungan emel yang dikirim kepada semua pemegang tiket dan pas bermusim kelab berkenaan.

Berikut adalah senarai penuh barangan yang diharamkan dibawa masuk ke dalam Stadium Old Trafford: Alkohol, minuman tin, botol plastik gelap, paket minuman, gelas, botol kaca, felas, air minuman yang melebihi 500ml, kereta sorong kanak-kanak, kamkorder, dart, mercun, suar, apa jua jenis pisau, senjata, beg besar, payung, bendera atau kain pemidang yang melebihi 2m x 1m atau yang bersifat ofensif, kayu pacak, batang kayu, radio, kanister asap atau gas, teleskop, lensa panjang dan apa jua peralatan pertukangan.

Artikel Lain