suria

Javier Hernandez Perlu Tinggalkan United Demi Masa Depan

PENGURUS pasukan kebangsaan Mexico, Miguel Herrera menegaskan yang penyerang Manchester United, Javier Hernandez perlu meninggalkan kelab itu dan menyertai kelab lain seperti Juventus, jika mahu terus cemerlang dalam karier bolasepaknya.

Ini kerana katanya, pemain berusia 26 tahun itu hanya akan beraksi sebagai pemain gantian dalam barisan superstar United di bawah Louis van Gaal.

Katanya, walaupun Hernandez mempunyai nisbah rekod menjaringkan gol yang cemerlang bersama United iaitu 59 gol dalam hanya 152 perlawanan dalam tempoh empat musim tetapi dia tetap bukan pilihan utama dalam kesebelasan skuad pemain.

"Apabila jurulatih yang menaruh kepercayaan kepada anda tidak ada lagi untuk menentukan sama ada anda dapat bermain atau tidak, saya berpendapat, pemain itu harus membuat keputusan untuk meninggalkan kelab tersebut dan mencari destinasi baru," ujarnya.

Beliau merujuk kepada Sir Alex Ferguson yang merupakan orang yang bertanggungjawab membawa Hernandez ke United sudah tidak lagi berada dalam posisi untuk memilihnya bermain dan kini jurulatih baru mempunyai persepsi yang berbeza mengenai keupayaannya.

Selain Juventus, Inter Milan, Atletico Madrid dan juga Southampton merupakan di antara kelab ternama yang menunjukkan minat ke atas Hernandez.

Tetapi menurut Herrera, Juventus adalah pilihan yang terbaik buat Hernandez.

Hernandez adalah salah seorang daripada tujuh pemain ternama yang dipanggil mengadap van Gaal dan diberitahu yang mereka adalah lebihan buat United dan pihak kelab bersedia mendengar tawaran daripada mana-mana kelab yang berminat.

Mereka ialah bek kanan, Rafael da Silva, pemain tengah Marouane Fellaini, Wilfried Zaha, Nani, Anderson dan pemain akademi Will Keane.

Hernandez bermain 66 kali untuk negaranya sejak 2009 dan telah menjaringkan 36 gol.


Artikel Lain