suria

Keputusan 'Rehatkan' Dharma Kurang Sesuai - Khairy

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan tindakan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) 'merehatkan' ketua jurulatih kebangsaan Muhammad Dharma Raj Abdullah di saat akhir sebelum Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan bermula, adalah satu keputusan yang tidak tepat.

Katanya, beliau bukannya tidak menyokong keputusan menukar tempat Dharma Raj kepada ketua jurulatih skuad hoki remaja Arul Selvaraj tetapi keputusan yang diambil dalam jangka masa singkat adalah sesuatu yang tidak ideal.

"Kita hanya ada masa kurang daripada 40 hari sebelum Sukan Asia bermula. Dharma mungkin sudah kenal pasti dan tahu kekuatan dan kelemahan skuad bimbingannya.

"Kekalahan di Sukan Komanwel hari itu bukan punca sebenar Dharma disingkirkan sebab kita memang tidak letak sebarang sasaran kepada pasukan hoki. Saya percaya ia berkait dengan isu-isu lain lagi," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Sukan Olimpik Remaja di Institut Sukan Negara (ISN), Selasa.

Kejohanan yang akan diadakan di Nanjing, China itu melibatkan penyertaan 20 atlet pelapis kebangsaan dan 13 pegawai sukan.

Khairy berkata antara masalah berkait dengan tindakan 'merehatkan' Dharma Raj ialah disebabkan jurulatih berkenaan menggunakan pendekatan yang salah kepada para pemainnya.

Selain itu, ia juga adalah disebabkan sikap segelintir pemain hoki kebangsaan yang tidak menghormati Dharma Raj selaku jurulatih mereka.

"Saya harap persatuan sukan lain tidak mengambil keputusan seperti dilakukan MHC dengan menukar jurulatih di saat akhir," katanya.

Sementara itu, mengenai kemelut dalaman Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Khairy meminta agar Presidennya Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff dan Ketua Jurulatih Kebangsaan Rashid Sidek menyelesaikan masalah menerusi pertemuan empat mata dan bukan menggunakan saluran media.

Katanya, pihak pengurusan persatuan sepatutnya mempunyai kesepakatan dalam membuat keputusan dan yang paling terdekat adalah mengenai persiapan skuad badminton ke Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark 25 Ogos ini serta ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan September depan.

"BAM kena buat keputusan, saya hanya boleh sarankan BAM buat keputusan dan maklumkan kepada ketua jurulatih apa perancangan ke Kejohanan Dunia. Apa pun kemelut, keputusan boleh dibuat tapi bukan melalui media, panggil jurulatih danbincang secara berdepan," katanya.

Dalam pada itu, dalam perbualan dengan Rashid pagi ini, Khairy berkata ketua jurulatih negara itu memaklumkan bahawa belum membuat sebarang keputusan untuk letak jawatan.

"Saya kata jangan letak jawatan, teruskan dan kita cuba selesaikan masalah dengan BAM. Itu pun saya kena hubungi jurulatih di mana ini tidak pernah berlaku di mana-mana negara.

"Saya terima panggilan daripada Tan Sri Elyas Omar minta saya campur tangan dalam kemelut BAM. Ini bukan tugas menteri untuk hubungi jurulatih tapi ini yang berlaku di Malaysia," katanya.

Timbalan Presiden BAM Datuk Mohamad Norza Zakaria pula berkata Rashid patut menyertai kontinjen negara ke Kejohanan Dunia kali ini memandangkan khidmat beliau masih diperlukan.

"Bagi saya beliau (Rashid) patut pergi untuk bersama-sama dengan pemain kerana Rashid adalah sebahagian daripada sistem yang kita bentuk sekian lama," katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin presiden BAM dan Rashid mampu menyelesaikan kemelut yang dihadapi secara berdamai bagi membolehkan persiapan dan program pembangunan atlet badminton dapat diteruskan.

Artikel Berikut

Artikel Lain