suria

David Silva Perbaharui Kontrak Dengan Gaji Lumayan £200,000 Seminggu

PEMAIN antarabangsa Sepanyol, David Silva telah menandatangani kontrak baru lima tahun bersama Manchester City dengan bayaran gaji dikatakan sebanyak £200,000 seminggu - menjadikannya sebagai salah seorang pemain dengan bayaran gaji tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris.

Silva kini menjadi pemain City yang ketiga menandatangani kontrak baru selepas Samir Nasri dan Aleksandar Kolarov berbuat demikian.

Adalah difahamkan yang Sergio Aguero serta kapten, Vincent Kompany adalah pemain dalam senarai akan datang yang akan ditawarkan pelanjutan kontrak.

Silva telah memenangi dua kejuaraan liga bersama City dan memainkan peranan yang instrumental dalam memastikan enjin tengah kelab itu berfungsi sebagai jentera yang berkesan.

Dia menyertai City dari Valencia pada harga £24 juta empat tahun lalu.

Kini sasarannya ialah Piala Liga Juara-Juara Eropah.

Selain menawarkan kontrak baru yang lumayan kepada pemain-pemain sedia ada yang dianggap sebagai teras utama, City juga telah membelanjakan sekurang-kurangnya £50 juta musim ini untuk membeli pemain baru antaranya pemain antarabangsa Perancis, Eliaquim Mangala, Willy Caballero, Fernando and Bruno Zuculini. 

Bacary Sagna menyertai mereka secara percuma sebagai pemain bebas selepas kontraknya dengan Arsenal tamat dan tidak diperbaharui manakala bekas mestro Chelsea, Frank Lampard akan turut menyertai City secara pinjaman selama enam bulan dari kelab barunya New York City.

David Silva, Manchester City

Artikel Sebelum

Artikel Lain