suria

Perjalanan Atlet Ke Glasgow Tidak Terjejas - Khairy

Khairy beramah mesra dengan sebahagian daripada atlet pada majlis penyerahan Jalur Gemilang baru-baru ini.

SEPANG: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memberi jaminan bahawa perjalanan kontinjen negara ke Glasgow, Scotland bagi menyertai Sukan Komanwel ke-20, tidak akan terjejas berikutan tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine pada Khamis.

Beliau juga yakin insiden tragik itu tidak menggugat semangat baki atlet dan pegawai yang belum berlepas ke Glasgow bagi menyertai temasya sukan yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 3 Ogos ini. 

"Saya percaya bahawa tidak akan ada apa-apa masalah dari segi keinginan mereka (atlet dan pegawai) untuk menaiki pesawat. Semua tahu bahawa segala tindakan telah diambil oleh badan antarabangsa yang mengawal selia penerbangan awam setelah berlakunya insiden MH17. 

"Walaupun insiden sedih ini telah berlaku tapi ia tidak menjejaskan dan mengganggu perjalanan atlet ke Glasgow dan sebahagian besar sudah sampai di sana," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Glasgow lewat malam Jumaat.

Khairy berkata setakat ini, sebanyak 109 daripada 269 atlet dan pegawai telah pun tiba di Glasgow manakala baki terdiri daripada atlet serta pegawai bagi acara renang, tinju dan beberapa sukan lain akan tiba pada Sabtu dan hari berikutnya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada semua anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH17 serta berharap Malaysia mengambil tindakan tegas dalam menyiasat insiden itu supaya pihak bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.

Pesawat MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Sementara itu, mengulas 'perbahasan' antara Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong dan Panel Penasihat Sukan (PPS) Datuk Mazlan Ahmad berhubung sasaran pingat di Sukan Komanwel, Khairy berkata perkara berkenaan mungkin tidak timbul jika beliau sendiri yang membuat pengumuman. 

"Jika menteri yang umumkan sasaran pingat ini, mungkin tidak ada sesiapa akan pertikaikan. Tapi kali ini saya bagi penghormatan kepada ketua kontinjen untuk umumkan sasaran pingat.  

"Sasaran tujuh pingat emas ini adalah berdasarkan perbincangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), MSN serta ketua kontinjen dan ini sasaran kita bersama dengan mengambil kira kedudukan atlet, sukan serta acara yang disertai selain kecederaan atlet seperti Datuk Lee Chong Wei," katanya.

Khairy berkata sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam Sukan Komanwel, Mazlan yang pernah menyandang jawatan Ketua Pengarah MSN ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 1998, patut menyedari akan pencapaian 'pasang surut' atlet dalam temasya itu. 

"Sebenarnya perkara ini biasa, kadang-kadang kita dapat pingat lebih tinggi dan kadang-kadang kita dapat lebih rendah. Contohnya ketika Sukom, Datuk Mazlan menjadi ketua pengarah ketika itu, negara mencapai 10 pingat emas tetapi kemudian turun kepada tujuh pingat emas di Manchester. 

"Dia kena tahulah ada pasang surut dalam pencapaian kita. Tapi tujuh pingat emas ini adalah sasaran yang realistik dan saya hormati pandangan Datuk Mazlan dan saya sokong pendirian Datuk Zolkples yang sama-sama buat sasaran ini," katanya.

Sepanjang penyertaan Malaysia dalam temasya Sukan Komanwel, kontinjen negara meraih dua pingat emas di Victoria, Kanada pada 1994; 10 emas di Kuala Lumpur (1998), tujuh emas di Manchester, England (2002) dan Melbourne, Australia (2006)dan yang terbaik iaitu 12 emas, di New Delhi, India (2010).

Artikel Lain