KAPTEN Jerman, Philip Lahm membuat keputusan mengakhiri aksi antarabangsanya selepas lima hari pasukan itu bergelar Piala Dunia 2014. Pemain berusia 30 tahun itu membuat keputusan untuk bersara dari arena antarabangsa dengan penuh perasaan bangga dan puas hati. Lahm mencatat 113 kap bersama Jerman dan turut bermain dalam tiga edisi Piala Dunia. "Bagi saya inilah masa yang paling sesuai. Saya meninggalkan Jerman dengan penuh harmoni. "Sejak dari musim lalu lagi saya sudah terlintas bahawa aksi Piala Dunia di Brazil itu adalah penampilan terakhir saya," katanya. Lahm antara pemain luar biasa ketika di Brazil sebagai pemain tengah dan pertahanan pada final bertemu Argentina. Dia juga merupakan calon senarai pendek untuk meraih trofi Bola Emas (Pemain Terbaik Piala Dunia), namun impiannya itu musnah selepas pemain Argentina Lionel Messi menjadi pilihan biarpun tewas 1-0 pada perlawanan penuh dramatik Isnin lalu. Bintang Bayern Munich ini turut menyertai perarakan Piala Dunia di hadapan 400,000 orang penyokong Jerman. Dalam pada itu, pembantu kapten Bastian Schweinsteiger yang mencatat 100 kap dilihat paling layak menggantikan tempat Lahm. Pasukan kendalian Joachim Low tidak perlu bimbang untuk mempertahankan trofi itu pada tahun 2018 memandang rata-rata pemainnya masih muda seperti Mario Goetze (22 tahun) Andre Schuerrle (23), Toni Kroos (24), Thomas Mueller (24) dan Manuel Nuer (28).