suria

Van Gaal Diperkenalkan Secara Rasmi Sambil Ikrar Kegemilangan United Akan Dikembalikan

Louis Van Gaal diperkenalkan secara rasmi kepada media massa oleh ahli Lembaga Pengarah Manchester United, Sir Bobby Chalton di Old Trafford pada lewat Khamis sambil dipersembahkan dengan jersi baru United bernombor '1'.

LOUIS van Gaal pada malam Khamis diperkenalkan secara rasmi sebagai pengurus baru Manchester United dengan ikrar yang beliau akan mengembalikan kegemilangan kelab itu sebagai salah sebuah kelab terhebat di dunia. 

Selepas diperkenalkan kepada media massa, Van Gaal kemudiannya mengendalikan sidang akhbarnya yang pertama selaku pengurus United dengan menjawab pelbagai soalan daripada pelan jangka pendek dan jangka panjangnya sehinggalah kepada persoalan tentang isu sama ada beliau akan memberi tempat kepada bekas-bekas pemain kelab itu seperti Paul Schole dan Phil Neville di dalam pasukan kejurulatihannya.

"Musim lalu, kelab ini berada di tangga ketujuh jadi ia tidak lagi boleh mendabik dada sebagai sebuah kelab terbaik jadi kelab ini harus berusaha keras untuk buktikan yang ia adalah yang terbesar dan terbaik," katanya.

Tetapi tambah Van Gaal, walaupun demikian orang masih bercakap tentang Manchester United dan itulah keistimewaan kelab ini.

"Itulah juga sebab mengapa saya memilih untuk datang ke kelab ini," ujarnya lagi.

Menurut Van Gaal, sepanjang kariernya, dia telah mengurus Barcelona, Ajax dan Bayern Munich - kesemuanya adalah kelab juara di negara masing-masing. 

"Sekarang saya berada di Manchester United yang juga merupakan kelab nombor satu di England.

"Tetapi saya tidak pernah bekerja di Liga Perdana Inggeris dan itulah cabaran terbesar saya," ujarnya lagi. 

Setelah dibawa meninjau kem latihan United di Carrington, Van Gaal hanya ada satu rungutan sahaja; "Tempat ini terlalu berangin..."

Kepada satu pertanyaan, Van Gaal mengesahkan yang pembelian dua bintang baru iaitu pemain pertahanan England berusia 18 tahun, Luke Shaw dan pemain tengah Sepanyol, Ander Herrera adalah atas persetujuannya.

"Saya memberi persetujuan kerana saya suka dengan corak permainan kedua-dua pemain itu," katanya.

Mengenai cara latihannya, Van Gaal menegaskan yang cara yang dia gunakan adalah sentiasa sama.

Selama ini katanya para pemain United bermain menggunakan gaya Moyes, Ferguson atau Hodgson (pengurus England).

"Tetapi kini saya ingin melihat bagaimana mereka bermain dengan gaya dan filosofi saya. Beri saya masa sebulan sebelum saya dapat memutuskan sama ada skuad ini memerlukan pemain baru atau tidak," ujar Van Gaal.

Van Gaal juga menerima hakikat yang ramai pemain telah keletihan kerana temasya Piala Dunia yang panjang dan oleh yang demikian dia harus berhati-hati agar mereka tidak menjadi terlalu letih menerusi latihan yang berpanjangan.

Dalam pada itu Van Gaal turut mengesahkan bahawa pemain tengahnya, Michael Carrick telah mengalami kecederaan serius yang akan menyaksinya terpaksa diketepikan selama lebih 10 minggu. 

Ditanya mengenai jangkaan kejayaannya di sini, Van Gaal berkata semua orang tahu sejarah perjalanan kariernya dan tahu apa yang telah dimenanginya. 

"Sejarah dan masa depan akan menjadi saksi sama ada saya masih boleh menghasilkan kejayaan lagi," katanya sambil tersenyum.

Ditanya mengenai masa depan Paul Scholes dan Phil Neville, Van Gaal berkata yang kedua-dua bekas pemain United itu akan diberi peranan di bawah bimbingannya.

"Ryan Giggs adalah penolong saya dan Nicky Butt sudah pun berada di dalam pasukan kejurulatihan United. Saya akan mencari jalan untuk memastikan Paul Scholes dan Phil Neville juga turut bersama-sama kami di kelab ini. Itulah apa yang kami semua mahukan," katanya.

Tetapi ada satu lagi keputusan yang Van Gaal sendiri tidak dapat tentukan iaitu siapakah yang bakal mengalas tanggungjawab sebagai kapten. 

Robin van Persie adalah pilihannya dalam skuad kebangsaan Belanda tetapi Wayne Rooney juga adalah pilihan yang sesuai.

Van Gaal berkata: "Kesemua pemain saya berpotensi dilantik sebagai kapten."

Pengurus itu juga mendedahkan yang dia telah menerima panggilan telefon daripada bekas pengurus United, Sir Alex Ferguson untuk merakamkan ucapan tahniah dan selamat datang ke Old Trafford.

"Kami telah berjanji untuk duduk minum bersama nanti..." ujar van Gaal lagi.

Mengenai kritikan tidak adil yang mengatakan dia adalah seorang yang autokratik, Van Gaal sambil tersenyum menegaskan yang media memang suka menampilkan perwatakannya yang kelihatan seperti itu. 

"Tapi ketika saya dilantik sebagai pengurus Ajax pada usia 39 tahun sehingga sekarang, personaliti saya tidak pernah berubah. Kadang kala orang tidak dapat memisahkan antara autokratik dan personaliti yang kukuh. Ada orang berpendapat ia adalah dua perkataan yang membawa maksud yang sama tetapi hakikatnya tidak.

"Sir Alex juga seorang yang memiliki filosofi dan pesonaliti yang kuat. Saya berharap saya dapat memulakan era baru saya di sini dengan filosofi yang serupa.

"Saya adalah seorang yang demokratik...saya juga adalah seorang yang . I am empatetik kepada manusia yang lain dan ya saya mempunyai pesonaliti yang kukuh," jelas Van Gaal.

Van Gaal juga menyatakan rasa kagumnya kepada ikon United Sir Bobby Charlton yang hadir untuk menyerahkan jersi nombor 1 kepadanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain