suria

Selepas Beli Toni Kroos, Real Madrid Beli James Rodriguez Pula

Permata yang menjadi rebutan ramai...James Rodriguez kini akan menuju ke Real Madrid.

SELEPAS berjaya membawa masuk satu bakat paling besar dalam dunia bolasepak iaitu Toni Kroos dari Bayern Munich, Real Madrid kini sedang berunding dengan pemenang kasut emas Piala Dunia, James Rodriguez dari AS Monaco pula.

Pada pagi Khamis, Bayern Munich sendiri mengumumkan yang mereka telah mencapai persetujuan dengan Madrid untuk menjual Toni Kroos pada harga £24 juta.

Seolah-olah tidak cukup dengan kejayaan itu,  Madrid dikatakan telah berjaya mencapai persetujuan mulut dengan James Rodriguez dan hanya perlu berunding dengan Monaco tentang harga perpindahannya.

Monaco dikatakan meminta £63 juta untuk pemain antarabangsa Colombia itu.

Rodriguez adalah salah seorang permata muda paling menyerlah yang dilahirkan hasil daripada temasya Piala Dunia yang baru sahaja selesai 14 Julai lalu. Dia muncul sebagai penjaring gol terbanyak dengan enam gol.

Untuk membolehkan mereka membawa masuk Rodriguez, Madrid perlu menjual bintang Argentina, Angel Di Maria yang dibida oleh juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG). 

PSG sanggup membayar £47 juta untuk pemain itu.

Jika urusan penjualan Di Maria kepada PSG dapat dimeteraikan minggu ini, Rodriguez sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Monaco paling lewat pun Isnin depan.

Artikel Lain