suria

Terbuka Taiwan: Hanya Beregu Chow & Mak Teruskan Cabaran Malaysia

Mak Hee Chun (kiri) dan Chow Pak Chuu.
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Chow Pak Chuu dan Mak Hee Chun muncul sebagai satu-satunya wakil Malaysia yang meneruskan cabaran pada Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Taiwan di Taipei Arena.

Pada pusingan ketiga, Khamis, beregu bukan pilihan itu menewaskan beregu Indonesia Wahyu Nayaka Arya Pankaryanira dan Ade Yusuf 21-19 dan 21-12 untuk melangkah ke suku akhir kejohanan bernilai US$200,000 (RM635,327).

Chow dan Mak akan menentang pasangan dari Jepun Hiroyuki Saeki dan Ryota Taohata pada suku akhir esok selepas pasangan itu menundukkan beregu Malaysia
Tai An Khang dan Woon Mun Choon dengan keputusan 21-16, 21-12.

Satu lagi beregu negara, Chooi Kah Ming dan Teo Ee Yi terkandas selepas tewas kepada beregu dari China Li Junhui dan Liu Yuchen dengan keputusan 19-21, 14-21.

Dalam perlawanan perseorangan lelaki, bekas pemain kebangsaan, Tan Chung Seang yang disenaraikan sebagai pilihan ke-14 mengalami kekalahan mengejut kepada pemain Jepun Riichi Takeshita dengan keputusan 19-21, 21-19 dan 12-21.

Goh Sooh Huat juga mengalami nasib yang sama selepas tewas 16-21 dan 16-21 kepada pilihan ketujuh, Lin Dan dari China.

Satu-satunya pemain Malaysia yang mengalas cabaran dalam acara perseorangan wanita, Sannatasah Saniru juga tewas kepada pilihan utama, Sung Ji Hyun dari Korea Selatan dengan keputusan 6-21 dan 13-21.

Sebaliknya Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho memberi tentangan sengit sebelum tumpas 22-24 dan 19-21 kepada pilihan kelima, Tang Yuanting dan Huang Yaqiong dari China dalam acara beregu wanita.
Terbuka Taiwan

Artikel Sebelum

Artikel Lain