suria

Pahang Umum Bonus RM600,000 Kepada Skuad Tok Gajah

Pemain-pemain Pahang menjulang Piala FA yang dimenangi di hadapan penyokong setia mereka ketika perarakan Piala FA mengililingi bandar Kuantan, Rabu. -fotoBERNAMA
KUANTAN: Kepulangan pasukan Pahang bersama Piala FA disambut khabar gembira apabila kerajaan negeri Pahang mengumumkan imbuhan sebanyak RM600,000 kepada skuad berkenaan.

Imbuhan itu diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dalam satu majlis sambutan kepulangan Piala FA di perkarangan Stadium Darul Makmur di sini.

Muhammad Safian yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) berkata setiap pemain akan menerima RM20,000.

"Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob telah meluluskan peruntukan itu dan meminta saya untuk mengumumkannya kepada pemain-pemain serta pegawai yang terlibat.

"Peruntukan sebanyak RM600,000 itu akan diagihkan kepada 30 individu yang terdiri daripada pemain serta individu yang akan ditentukan oleh PBNP," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada semua pemain, penyokong, ahli majlis PBNP yang bertungkus lumus dan memberikan sokongan padu bagi memastikan kejayaan kali ini terutama kepada Menteri Besar Pahang yang meluluskan peruntukan untuk pemberian hadiah berkenaan.

Skuad Tok Gajah yang diiringi sekumpulan penunggang motosikal berkuasa besar tiba di perkarangan Stadium Darul Makmur bersama Piala FA kira-kira 6 petang tadi.

Walaupun ketibaan rombongan berkenaan disambut dalam keadaan hujan, ia tidak menghalang kira-kira 1,000 penyokong setia Pahang bagi menyambut kepulangan pemain kesayangan mereka.

Mengikut rekod dalam saingan musim lepas, Pahang menamatkan penantian 21 tahun bagi menjulang Piala Malaysia di bawah kendalian jurulatih Dollah Salleh selepas menewaskan Kelantan 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

Kemudian giliran jurulatih Ronald Smith yang menggantikan Dollah Salleh yang membolehkan Pahang merangkul Piala Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah dengan menewaskan Lions XII 1-0 di Stadium Darul Makmur, 17 Jan lepas.

Terbaru giliran Zainal Abidin Hassan membuktikan Pahang mempunyai barisan pemain yang mantap bagi merangkul Piala FA selepas menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Shah Alam, pada 7 Jun.
Pahang, tok gajah, Piala FA, bonus

Artikel Lain