suria

Piala Dunia: Jurulatih Optimis Skuad Hoki Mampu Raih Kedudukan Ke-11

Muhammad Dhaarma Raj Abdullah
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah optimis pasukan kendaliannya mampu menamatkan cabaran di tangga ke-11 pada Kejohanan Hoki Piala Dunia 2014 di Belanda.

Malaysia akan menentang Afrika Selatan bagi penentuan tempat ke-11 dan 12 di Stadium Kyocera, The Hague, esok.

"Pasukan Afrika Selatan bukan macam pemain yang beraksi pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (awal tahun ini)... Ramai pemain mereka yang berpangkalan di Eropah beraksi pada kejohanan kali ini.

"Saya harap para pemain dapat beri persembahan yang bagus dan cuba meraih kemenangan kerana persembahan cemerlang menjadi penentu untuk masa depan pasukan," katanya kepada pemberita menerusi media sosial WhatsApp, Rabu.

Muhammad Dhaarma mengingatkan barisan pemain agar tidak mudah memberikan pukulan sudut penalti memandangkan Afrika Selatan mempunyai dua pakar iaitu Justin Reid Ross dan kapten pasukan Austin Smith.

"Kita mesti mengurangkan pukulan sudut penalti bagi menghalang mereka daripada meraih jaringan," katanya.
Malaysia menduduki tangga tercorot kumpulan A tanpa mengutip sebarang mata selepas kalah kesemua lima perlawanan.

Mereka kalah 0-4 kepada juara bertahan, Australia pada aksi pembukaan 31 Mei lepas sebelum tunduk 2-6 kepada Belgium, dua hari kemudian.

Ini disusuli dengan kekalahan 0-2 kepada England pada 5 Jun, 2-3 kepada India (7 Jun) sebelum diaibkan 2-5 kepada Sepanyol, dua hari kemudian dan sekali gus gagal mencapai sasaran 10 teratas yang ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Afrika Selatan pula menduduki tangga tercorot kumpulan B dengan mengutip satu mata selepas mencatat satu keputusan seri dan empat kekalahan.

Artikel Lain