suria

Tok Gajah Arak Tiga Piala Bakar Semangat Pemain, Penyokong

KUANTAN: Dalam usaha untuk terus menyemarak semangat juang pemain dan penyokong untuk mengharungi baki empat perlawanan Liga Super, Tok Gajah akan mengarak tiga piala yang dimenangi sebelum ini pada malam Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan negeri Datuk Mohd Johari Hussain berkata perarakan tiga piala itu juga membolehkan penyokong skuad Tok Gajah dapat merasai dan melihat dengan lebih dekat piala yang berjaya dirangkul berturut-turut dalam saingan Liga Malaysia.

"Kejayaan ini membuktikan Pahang bukan sebuah pasukan yang boleh dianggap mudah dan diperlekehkan oleh pihak lawan.

"Saya percaya kejayaan demi kejayaan yang ditunjukkan oleh Pahang telah memberi harapan tinggi kepada penyokong untuk melihat pasukan kesayangan mereka melengkapkan pencapaian bagi merangkul dua lagi piala iaitu Piala Super.

"Seperti mana yang dilakukan dalam kejuaraan sulung Liga Super pada 2004 selain dapat mengekalkan status juara Piala Malaysia," katanya pada Rabu.

Pahang mencipta kemenangan hatrik dengan menjuarai tiga piala berturut-turut di bawah tiga kendalian jurulatih berasingan.

Dalam saingan musim lepas Pahang berjaya menamatkan penantian 21 tahun bagi menjulang Piala Malaysia di bawah kendalian jurulatih Dollah Salleh selepas menewaskan Kelantan 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

Kemudian giliran jurulatih Ronald Smith yang menggantikan Dollah Salleh yang membolehkan Pahang berjaya merangkul Piala Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah dengan menewaskan Lions XII 1-0 di Stadium Darul Makmur, 17 Jan lepas.

Terbaru giliran Zainal Abidin Hassan membuktikan Pahang mempunyai barisan pemain yang mantap dengan berjaya merangkul Piala FA selepas menewaskan Felda United 1-0 di Stadium Shah Alam, pada 7 Jun. 


Pahang

Artikel Lain