suria

Terbuka British: Nicol Mara, Wee Wern Terkandas

Nicol (kanan) dan Wee Wern
KUALA LUMPUR: Ratu skuasy kebangsaan dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David melangkah setapak lagi ke arah menyandang gelaran juara bagi kali kelima Terbuka British apabila beliau mara ke separuh akhir kejohanan itu di Sports Arena, University of Hull, England.

Beliau mengambil masa hanya 39 minit untuk mengetepikan pemain pilihan ke-11 dari Mesir Omneya Abdel Kawy 11-7, 12-10 dan 11-4 dalam perlawanan suku akhir awal hari Sabtu, menurut laman web kejohanan www.allambritishopensquash.com.

Nicol, yang menjuarai Terbuka British pada 2005, 2006, 2008 dan 2012, akan bertemu pemain dari negara tuan rumah, Alison Water lewat hari Sabtu.

Alison, pemain pilihan kelima, membuat kejutan dalam satu lagi perlawanan suku akhir dengan mengalahkan pemain pilihan keempat Joelle King dari New Zealand 11-4, 8-11, 11-5, 11-1 dalam masa 46 minit.

Sementara itu, pemain nombor dua negara Low Wee Wern terkeluar daripada kejohanan apabila kalah kepada pemain nombor tiga dunia dari Mesir Raneem El Weleily 5-11, 6-11 dan 8-11.

Wee Wern menulis dalam laman tweeternya: "Bermain dengan lebih baik dalam game ketiga, tapi Raneem begitu tajam. 
Keseluruhannya, gembira kerana dapat ke suku akhir Terbuka British untuk julung kalinya dan berharap akan lebih berjaya selepas ini.

"Pulang esok. Selamat berjaya kepada Nicol David pada minggu ini!"
Terbuka British 2014

Artikel Berikut

Arsenal Kempunan Piala FA

Artikel Lain