suria

Tingkat Mutu Pengadilan, FAM Perlu Berubah

JOHOR BAHARU: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memberi perhatian kepada usaha meningkatkan mutu pengadilan bola sepak negara.

Ini katanya bagi mengelakkan tindakan agresif segelintir pihak daripada semakin menjadi-jadi.

Insiden kekecohan yang berlaku di stadium adalah berikutan daripada rasa tidak puas hati penonton dan pegawai pasukan terhadap mutu pengadilan.

"Seperti yang berlaku di Johor...apa yang mendorong bekas Pengurus JDT (Johor Darul Takzim) II menumbuk pengadil adalah kerana mutu pengadilan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Sembang Santai "Cukai Barang dan Perkhidmatan & Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA): Peranan dan Tanggungjawab Anak Muda Dalam Perkembangan Ekonomi" di Universiti Teknologi Malaysia di sini.

Walaupun apa yang dilakukan oleh pengurus itu salah dan beliau sudah dihukum, FAM harus melihat kepada punca sebenar insiden seumpama itu berlaku, katanya.

"Jika ada aduan yang serius diterima dengan ada bukti seperti rakaman video dan sebagainya, FAM mesti bertindak. Kalau pengadil itu didapati bersalah, dia perlu digantung daripada mengadili beberapa siri perlawanan seperti di United Kingdom," katanya.

Beliau juga mahu agar aspek keselamatan, kerjasama dengan polis dan pemantauan umum dipertingkatkan bagi mengatasi masalah kekecohan di stadium.

Hukuman berat seperti bermain tanpa penonton perlu dikenakan ke atas pasukan yang mana pegawai atau penyokongnya melanggar tata etika di stadium.

"Ini mungkin tidak popular di kalangan penyokong pasukan tempatan, tetapi kalau tidak dapat tunjuk perangai yang baik di stadium, pasukan itu perlu dihukum," katanya.

Sementara itu, beliau berkata isu peletakan jawatan oleh Ketua Jurulatih skuad hoki senior negara Muhammad Dharma Raj Abdullah sudah selesai.

Menurutnya, Persekutuan Hoki Malaysia telah menghubungi Dharma berkenaan penambahbaikan kontrak asalnya dan ini telah dipersetujui oleh beliau.

"Isu itu telah diselesaikan. Ada sedikit perbezaan pendapat dari segi harapan tangga gaji yang ditawarkan kepada Dharma Raj pada awalnya," katanya.

Dharma dilaporkan sebelum ini mengakui beliau bersedia melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad hoki senior negara.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan punca sebenar tindakannya itu. 


FAM

Artikel Sebelum

Arsenal Kempunan Piala FA

Artikel Lain