suria

AFC Tidak Boleh Campur Tangan Pentadbiran Ahli Gabungan

Timbalan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John (kanan) ketika sidang media pada Pelancaran Kempen "Protect The Goal" Asia Tenggara di Rumah AFC di Bukit Jalil.

KUALA LUMPUR:  Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak boleh mencampuri sebarang urusan pentadbiran mana-mana ahli gabungannya, kata Timbalan Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John.

Beliau berkata AFC hanya boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli gabungan sekiranya mereka gagal mengadakan pemilihan ahli exco baharu mengikut tempoh yang ditetapkan atau wujudnya campur tangan kerajaan dalam persatuan bola sepak negara berkenaan.

"Saya rasa bila ada pemilihan, mesti ada yang melobi, sama ada lobi itu mengikut peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), itu terpulang kepada jawatankuasa tertentu dalam FAM yang tetapkan.

"FAM didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Sukan dan mereka (FAM) pun ada peraturan sendiri. Jadi, saya rasa apa sahaja yang berlaku, mereka sudah ada mekanisme tersendiri untuk menangani masalah yang timbul," katanya.

Windsor berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak kononnya wujud usaha daripada calon-calon tertentu yang bakal bertanding pada Kongres Tahunan FAM ke-50 untuk 'membeli undi' daripada perwakilan FAM.

Kongres berkenaan yang bakal diadakan pada 25 Mei ini di Shah Alam adalah bagi memilih ahli exco FAM yang baharu bagi penggal 2014-2018.

Beliau turut menasihatkan supaya individu yang mempunyai bukti mengenai wujudnya usaha untuk 'membeli undi' bagi melaporkan perkara berkenaan kepada pihak bertanggungjawab seperti Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau pihak berkuasa tempatan.

"Tidak perlu AFC masuk campur dan sebagainya. (Saya yakin) FAM sudah berpengalaman dalam mengadakan pemilihan mahupun kongres mereka.

"Mereka adalah sebuah persatuan yang mematuhi peraturan untuk menganjurkan kongres dan sebagainya," kata Windsor.

Dalam pada itu, Windsor berkata Jawatankuasa Disiplin AFC akan mengadakan mesyuarat kali kedua, minggu depan bagi menentukan nasib FAM yang dilaporkan gagal mengawal penyokong 'Ultras Malaya' daripada menyalakan suar ketika aksi persahabatan antara Malaysia dan Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 1 Mac lepas.

"Pada mesyuarat kali pertama yang diadakan (sebelum ini), pihak jawatankuasa telah meminta penjelasan lanjut daripada FAM, pasukan Filipina, selain pengadil dan pesuruhjaya perlawanan.

"Jadi, kita tunggu keputusan yang akan diambil oleh Jawatankuasa Disiplin AFC," kata Windsor.

Perlawanan berkenaan yang berkesudahan seri tanpa jaringan dicemari dengan insiden pembakaran suar oleh penyokong 'Ultras Malaya' yang kecewa dengan pentadbiran FAM yang dikatakan gagal dalam memajukan bola sepak negara.

Terdahulu, Windsor melancarkan kempen 'Protect The Goal' di AFC House, Bukit Jalil, di sini.

Kempen berkenaan yang melibatkan kerjasama antara AFC, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Pembangunan Asia (ADB) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai ancaman penyebaran virus HIV dalam kalangan remaja di benua Asia.


AFC, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain