suria

Hairuddin Optimis ATM Tidak Ke Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Ketua pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar tetap optimis bahawa skuad 'The Gladiators' itu tidak akan tercicir ke Liga Perdana musim depan.

Biarpun tercorot dalam tangga Liga Super, beliau yakin dengan kemampuan pasukan itu untuk bangkit semula mencapai keputusan positif dalam baki sembilan lagi perlawanan musim ini.

"Saya percaya kita dapat kekal bersaing dalam Liga Super musim depan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen 'Protect The Goal' oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di sini.

Selepas 15 perlawanan Liga Super musim ini, ATM menduduk tangga tercorot dengan 12 mata selepas menang tiga perlawanan dan seri tiga.

Hairuddin, yang terkenal dengan jolokan 'Hai-O', berkata prestasi buruk pasukan itu disebabkan faktor kecederaan beberapa pemain tonggak antaranya Amiridzwan Taj Tajudin dan Marlon Alex James.

Program 'Protect The Goal' merupakan kempen mencegah penularan virus HIV dalam kalangan remaja di Asia dan ianya dilancarkan julung kalinya pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Kempen berkenaan mendapat kerjasama antara AFC, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Pembangunan Asia (ADB).


ATM, Liga Perdana, Liga Super

Artikel Lain