Zulmazran yang layak secara automatik ke final selepas muncul peserta terbaik dalam pusingan awal 'step ladder' pada sesi pagi, diberikan tentangan sengit oleh pemain pelapis kebangsaan, Isaac Russell Paul sebelum menang tipis dengan kiraan 224 berbalas 223 jatuhan pin.
Terdahulu, Isaac mara ke final selepas melakar kejutan ke atas seorang lagi pemain elit kebangsaan, Timmy Tan dengan kiraan 247 berbalas 176 jatuhan pin dalam saingan separuh akhir 'step ladder'.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan, Zulmazran yang pernah meraih kejuaraan sama pada 2001, mengakui lawannya memberikan aksi terbaik sehingga memaksa beliau mengerah segala pengalaman yang dimilikinya.
"Saya sudah menjangkakan akan bertemu Isaac pada aksi final memandangkan beliau beraksi cemerlang ketika menentang Timmy kerana jumlah balingannya mesti mencecah 200 jatuhan pin ke atas.
"Alhamdulillah, saya dapat bertahan walaupun membuat balingan yang salah pada beberapa balingan awal, sebelum kembali bangkit pada penghujung permainan," kata anak jati Selangor itu.
Esther sebelum itu mara ke final selepas menang 218 berbalas 201 jatuhan pin ke atas Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamalidon dalam aksi separuh akhir 'step ladder'.
"Saya berharap kemenangan ini akan memberi motivasi kepada saya untuk beraksi cemerlang dalam beberapa kejohanan selepas ini seperti Terbuka Malaysia bulan depan dan Terbuka Singapura pada Jun," kata Li Jane yang turut mengintai slot ke Sukan Asia di Korea Selatan, September ini.
Kemenangan tersebut membolehkan Zulmazran dan Li Jane masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000 dan RM3,000 serta trofi yang disampaikan oleh Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Datuk Dr PS Nathan.
Isaac dan Timmy masing-masing meraih RM3,000 dan RM1,500 serta trofi selaku naib juara dan pemenang tempat ketiga dalam kategori Masters lelaki.
Esther dan Dayang Khairuniza pula meraih wang tunai berjumlah RM1,500 dan RM700 serta trofi selepas menduduki tempat kedua dan ketiga dalam kategori Masters wanita.


