Dengan kemenangan tersebut skuad Tok Gajah kini mengumpul sebanyak 22 mata dengan perbezaan dua mata di hadapan pencabar utama, Terengganu dan Selangor yang masing-masing mengumpul 20 mata.
Pahang menjaringkan gol pertama menerusi penyerang berasal dari Argentina, Matias Ruben Conti pada minit ke-60.
Zeshan Rehman kemudianya mengesahkan kemenangan bagi pasukan Tok Gajah apabila menjaringkan gol hasil tandukan pada minit ke-88.
Selangor terus kekal di kedudukan kedua carta liga setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh.
Paulo Rangel menjadi wira skuad Gergasi Merah apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-21 hasil sepakan penalti selepas S. Veenod dijatuhkan oleh pemain Perak.
Kelantan turut mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) 1-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu.
Pemain import'The Red Warriors', Mohamed Shawky Aly menanduk hantaran silang dari kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi, pada minit ke-60.
Pasukan Lions XII pula mengalahkan pasukan Sime Darby 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Lions XII berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-52 hasil tandukan yang dilakukan oleh Muhammad Safuwan Baharudin.
Selang 10 minit kemudian, pasukan dari Singapura itu menggandakan jaringan menerusi Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal.


