suria

PDRM Kembali Ke Puncak Liga Perdana

Pemain PDRM, Bobby Gonzales membuat tendangan di dalam kotak penalti pada perlawanan Liga Perdana menentang Kedah di Stadium Darul Aman di Alor Setar, Jumaat malam. PDRM menang dengan jaringan 3-1. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kembali melonjak ke tangga teratas Liga Perdana selepas mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Kedah di Stadium Darul Aman pada Jumaat malam.

Kemenangan itu membolehkan skuad 'The Cops' berkongsi 23 mata dengan Pulau Pinang namun berada di puncak liga hasil perbezaan jaringan selain berkelebihan satu perlawanan.

Pemain import dari Maldives Ashfaq Ali muncul wira PDRM selepas meledakkan jaringan hatrik pada minit ke-17, 43' dan 71' manakala gol tunggal Kedah dihasilkan pemain gantian Baddrol Bakhtiar pada minit ke-79.

Pulau Pinang, yang sebelum ini memimpin carta liga, turun ke tangga kedua selepas seri tanpa jaringan ketika menentang SPA Putrajaya FC di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Felda United FC pula naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga liga selepas melakar kemenangan bergaya 5-1 ke atas Perlis di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pemain import dari Liberia Edward Junior Wilson muncul wira skuad 'The Settlers' selepas mencetak nama selaku penjaring hatrik pada minit ketiga, kelima dan '14 selain dua lagi gol menerusi Ndumba Makeche (21') dan K.

Soley(78') manakala gol sagu hati Perlis disumbang oleh Dao Bakary pada minit ke-16.

Terdahulu, Perlis terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Mohd Khairi Zainuddin diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-72.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pasukan Negeri Sembilan turut meraih tiga mata penuh di halaman sendiri selepas menang tipis 1-0 ke atas UiTM FC hasil jaringan pemain import dari Korea Selatan Kim Jin Ryong pada minit ke-26.

Pasukan berstatus kelab DRB Hicom FC pula melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang FC (PBAPP FC) di Stadium Bandaraya.

Tiga gol skuad kendalian G. Torairaju itu dijaring oleh Ogunboye Iyanul Ezekiel pada minit ke-14, Mohamad Fakhrullah Rosli (37') dan Muhammad Azreen Zulkafali (54').

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pasukan Sabah dan Johor Darul Ta'zim II berkongsi satu mata selepas terikat 1-1.

Penyerang import dari Syria Marwan Mustafa Sayedeh meletakkan Sabah di depan pada minit ke-27 sebelum Braulio Nobrega Rodriguez menyamakan kedudukan

untuk skuad 'Harimau Selatan', lima minit kemudian.

Artikel Berikut

Artikel Lain