suria

Belanda Umum Guus Hiddink Sebagai Pengurus Baru Selepas Piala Dunia

Bakal pengurus skuad kebangsaan Belanda, Guus Hiddink

PERSATUAN Bolasepak Belanda (KNVB) pada Jumaat telah mengumumkan pelantikan Guus Hiddink sebagai pengurus pasukan kebangsaan yang baru mengantikan Louis van Gaal selepas tamatnya temasya Piala Dunia Jun nanti.

Dalam pengumuman yang sama, KNVB turut menamakan bekas penyerang Manchester United dan Real Madrid,  Ruud van Nistelrooy sebagai penolong pengurus.

Bagaimanapun, KNVB menjelaskan bahawa kontrak Hiddink, 67, hanya setakat Euro 2016 sahaja. Selepas itu jawatannya akan diambil alih oleh seorang lagi penolong pengurus iaitu Danny Blind.

Blind diberi mandat untuk mengemudi skuad kebangsaan untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.

Van Gaal, siang-siang lagi telah menyatakan hasratnya secara terbuka untuk melepaskan jawatannya itu sebaik sahaja Piala Dunia tahun ini tamat.

Adalah difahamkan yang Van Gaal mahu kembali kepada pengurusan kelab.

Untuk rekod, ini adalah pelantikan kedua Hiddink sebagai pengurus dan jurulatih skuad kebangsaan. Pelantikannya sebelum ini ialah pada 1995 selama tiga setengah tahun - dan kejayaan terbesarnya ialah membawa Belanda ke separuh akhir Piala Dunia 1998 yang menyaksikan negara itu menduduki tempat keempat.

"Kami amat berbangga untuk mengumumkan pelantikan Guus Hiddink, Danny Blind dan Ruud van Nistelrooy sebagai trio yang akan menguruskan skuad kebangsaan Belanda selepas selesainya Piala Dunia di Brazil musim panas ini.

"KNVB telah menandatangani kontrak dengan Hiddink untuknya memulakan tugas sebagai pengurus skuad kebangsaan mulai 1 Ogos sehingga selesai Kejohanan Eropah 2016 di Perancis nanti. Di bawah perjanjian ini Blind dan Van Nistelrooy telah bersetuju untuk menjadi penolong jurulatih kepada Hiddink.

"Dan selepas Euro 2016, Blind akan mengambil alih tugas Hiddink untuk mengemudi Belanda ke Piala Dunia 2018 di Rusia," demikian kata KNVB dalam satu kenyataan.

Selain pernah membimbing skuad Belanda, Hiddink juga pernah dilantik sebagai ketua jurulatih kepada Korea Selatan, Australia, Rusia dan Turki.

Menurut Hiddink, beliau bersedia untuk kembali bersama skuad kebangsaan kerana mereka bersetuju untuk mengenalpasti pengantinya lebih awal. Ini memudahkannya untuk merancang pembangunan masa depan bolasepak kebangsaan dan berupaya untuk meneruskan kesinambungan ke atas apa yang telah diusahakannya.

Penglibatan Danny Blind dalam skuad kebangsaan Belanda bukanlah baru kerana dia telah menjadi penolong jurulatih sejak 2012.

Bekas pemain Ajax dan Belanda itu juga pernah menjadi ketua jurulatih Ajax dari tahun 2005 hingga 2006.

Dalam pusingan akhir Piala Dunia di Brazil Jun nanti, Belanda telah diundi dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan Sepanyol, Australia dan Chile.

Artikel Lain