suria

Penjualan Tiket Merosot Bukan Faktor MH370 - Razlan

Razlan menegaskan penurunan penjualan tiket F1 bukan faktor insiden MH370.
SEPANG: Pembukaan Perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Petronas Malaysia 2014 yang bermula pada Jumaat dilihat berjalan lancar dan sederhana biarpun seluruh negara disurami suasana sedih berikutan kehilangan pesawat Malaysia  Airlines (MAS) MH370.

Pihak media, pelumba mahupun pengunjung yang berada di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) turut sama-sama merasai kesedihan yang menimpa pesawat MH370 ini.

Salah seorang pengunjung yang hadir menyaksikan latihan bebas pada Jumaat, Daniel Asram memuji inisiatif yang diambil oleh pihak SIC bagi menghormati insiden tersebut.

"Walaupun perlumbaan tetap diteruskan seperti biasa, ia tidak bermakna kita tidak peka dengan apa yang terjadi.

"Saya diberitahu pelumba-pelumba F1 akan bertafakur seminit bagi menghormati insiden MH370. Ia satu perkara yang penting.

"Saya sebagai peminat F1 turut merasakan kesedihan tersebut dan dalam masa sama berharap perlumbaan tahun ini akan berjalan lancar," jelasnya kepada mStar Online.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali mengakui penjualan tiket F1 tahun ini tidak begitu memberangsangkan.

"Kami hanya mampu menjual sekitar 60,000 tiket sahaja sepanjang minggu ini mungkin kerana tumpuan seluruh rakyat Malaysia tertumpu kepada tragedi MH370.

"Pada penganjuran sebelum ini, kita letak sasaran 90,000, tiket terjual ebih 80,000. Tetapi kali ini, jumlah tiket yang terjual belum lagi mencapai 60,000. 

"Kebiasaannya hampir 600 tiket terjual di saat akhir setiap hari tetapi kali ini hanya 100 sehingga 200 tiket sahaja sehari.

"Insiden MH370 bukan faktor utama penjualan tiket perlahan tetapi sebab peraturan baharu F1 iaitu penggunaan enjin dengan deruman bunyi yang perlahan tidak seperti tahun sebelum ini memberi kesan kepada peminat untuk menyaksikan perlumbaan F1," katanya.

Dalam pada itu, Razlan turut menjelaskan konsert artis terkenal antarabangsa Calvin Harris akan tetap  diadakan pada Ahad ini selepas perlumbaan.

Jelasnya, perkara itu telahpun dimaklumkan kepada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan pada Rabu untuk konsert itu diteruskan.

"Kami sensitif dengan insiden MH370 tetapi kami terpaksa meneruskan konsert berkenaan kerana ia termasuk dalam pakej pembelian tiket perlumbaan F1, kebanyakan pembeli tiket merupakan pelancong asing.

"Kebanyakan mereka datang untuk menyaksikan perlumbaan F1 dan Calvin Harris, jadi kami tidak boleh membatalkan konsert tersebut kerana ia menjejaskan kedatangan pelancong asing (peminat F1) ke negara ini," katanya kepada pemberita.

Razlan menjelaskan konsert di perkarangan KLCC merupakan konsert percuma dan terbuka kepada orang ramai iaitu berbeza dengan konsert selepas perlumbaan F1 yang akan diadakan di Helipad, Sepang.

Sementara itu Razlan berkata sebelum perlumbaan pada Ahad ini, semua pelumba F1 akan bertafakur seminit bagi menghormati insiden MH370.

Katanya para pelumba juga akan menampalkan pelekat #rememberingMH370 ataupun #prayforMH370 pada topi keledar masing-masing.

"Dengan berbuat demikian, pelumba F1 memahami perasaan rakyat Malaysia yang masih bersedih dengan insiden MH370, mereka dengan rendah diri melakukannya, mereka menjadikan sukan sebagai alat untuk menyatukan masyarakat di seluruh dunia," kata Razlan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain