suria

Nicol Mahu Bangkit Kembali Juarai Terbuka British 2014

Nicol memberi tunjuk ajar kepada para peserta yang menyertai klinik skuasy Laureus di Kuala Lumpur, Rabu. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Selepas mengalami kekalahan mengejut pada Kejohanan Skuasy Wanita Dunia, ratu skuasy negara, Datuk Nicol David mahu bangkit kembali daripada kekalahan dengan menjuarai Terbuka British 2014.

"Saya akan melakukan yang terbaik dan bekerja keras bagi kejohanan (Terbuka Britain) pada Mei kerana saya tidak mahu mengulangi kesilapan yang saya lakukan di Pulau Pinang," kata Nicol.

Pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu berkata demikian kepada pemberita selepas mengendalikan klinik skuasy di Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM) di sini, Rabu.

Nicol, 30, yang memburu kejuaraan dunia kali kelapan, tewas mengejut kepada pemain muda dari Mesir, Nour El Sherbini pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Wanita Dunia CIMB ke-29 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang Subterranean di Pulau Pinang.

"Saya tidak berada dalam prestasi terbaik...Saya mahu lakukan lebih sedikit tetapi pada masa yang sama kekalahan akan berlaku. Buat masa sekarang, saya cuma perlu menumpukan perhatian kepada apa yang perlu dilakukan supaya saya boleh menghadapinya lain kali," kata Nicol.

Nicol menjuarai gelaran dunia tujuh kali iaitu pada 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012.

Mengenai klinik itu, Nicol yang juga duta Laureus berkata beliau amat teruja apabila menyaksikan minat yang ditunjukkan para peserta untuk mempelajari kemahiran asas dalam sukan itu.

"Ini adalah hari yang paling menyeronokkan. Saya menikmatinya setiap minit. Kadang-kala sukar untuk melihat diri sendiri sebagai contoh ikutan tetapi apabila anda dapat membantu pemain-pemain remaja seperti yang saya lakukan hari ini, anda boleh menimba sesuatu seperti pemain-pemain muda itu," kata Nicol.

Klinik skuasy anjuran bersama Laureus Sport for Good Foundation, Yayasan Rakyat 1 Malaysia dan SRAM itu disertai lebih 50 pemain muda, kebanyakannya pelajar berumur enam hingga 20 tahun dari Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Ia adalah antara acara sampingan yang diadakan sempena majlis Anugerah Dunia Sukan Laureus 2014 yang akan berlangsung di Istana Budaya, di sini malam Rabu.

Artikel Lain