suria

Golf: Gavin Ingin Atasi Pencapaian Tahun Lalu

Gavin Kyle Green
KUALA LUMPUR: Pemain amatur handalan Malaysia Gavin Kyle Green berazam meraih kedudukan membanggakan pada kejohanan golf Terbuka Malaysia Maybank 2014 yang akan berlangsung dari 17 hingga 20 April di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KGCC) di sini.

Penuntut University of New Mexico di Amerika berusia 20 tahun ini berkongsi tempat ke-22 dan merupakan pemain amatur dan pemain terbaik Malaysia dalam edisi
2013 yang diadakan di tempat sama.

"Pencapaian saya pada tahun lepas adalah di luar jangkaan dan saya tidak akan lalai kerananya. Pastinya, saya ingin mencapai keputusan lebih baik pada tahun ini dan memberi komitmen penuh mengenainya.

"Walaupun ia bukan sesuatu yang mudah, tapi saya mahu berfikir secara positif. Saya yakin semua pemain golf Malaysia berazam untuk beraksi dengan cemerlang dalam acara di tempat sendiri ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan penganjur kejohanan.

Sementara itu, presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor pula gembira dengan kesan positif daripada kejohanan ini terhadap sukan golf dan berharap lebih banyak pemain tempatan mencapai keputusan baik tahun ini.

"Untuk muncul sebagai yang terbaik, seseorang itu perlu bersaing dengan yang terbaik juga. Sejak beberapa tahun lepas, beberapa pemain golf terhandal dunia menyertai Terbuka Malaysia Maybank dan ini memberi peluang kepada pemain golf tempatan untuk meningkatkan permainan mereka.

"Nicholas Fung adalah antara 30 pemain terbaik dalam siri Jelajah Asia, manakala Gavin menduduki tempat ke-24 dalam kalangan pemain amatur dunia. Kami,
di MGA, berharap lebih banyak pemain akan dapat memberi saingan hebat dalam Terbuka Malaysia Maybank tahun ini," kata Mohd Anawar.

Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor pula berkata pemain tempatan yang layak bermain dalam kejohanan ini perlu membuktikan kehebatan mereka apabila menentang pemain golf handalan dunia.

"Saya percaya pemain tempatan telah banyak belajar melalui peluang yang diberi kepada mereka untuk bermain menentang pemain golf terhandal dalam Jelajah
Asia dan Jelajah Eropah. Saya harap mereka akan bermain dengan cemerlang dan
memberi saingan sengit," katanya.

Antara pemain terkemuka yang menyertai kejohanan tahun ini ialah juara dua kali Thongchai Jaidee dari Thailand, Lee Westwood dari United Kingdom, pemain Afrika Selatan Louis Oosthuizen dan juara 2011 Matteo Manassero dari Itali. 

Gavin akan diiringi tiga lagi pemain amatur tempatan iaitu Ervin Chang, Solomon Emilio Rosidin dan Mohamad Wafiyuddin Abdul Manaf, manakala 19 pemain Malaysia lain yang menempah tempat melalui merit, juga akan beraksi pada kejohanan tersebut.

Mereka ialah Nicholas Fung, Danny Chia, Shaaban Hussin, Ian Steel, S. Murthy, S. Siva Chandran, Rizal Amin, Airil Rizman, Sukree Othman, Iylia Jamil,
Khor Kheng Hwai, Shaifubari Muda, R. Nachimuthu, Arie Fauzi, Kemarol Baharin, Ben Leong, Wilson Choo dan Kenneth De Silva.

Terbuka Malaysia Maybank, yang mendapat pengiktirafan Jelajah Eropah dan Jelajah Asia, menawarkan hadiah US$2.75 juta (RM9.076 juta).


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain