suria

SIC Sasar 125, 000 Pengunjung Edisi Ke-16

Pelancaran Formula 1 2014 Mac ini.

KUALA LUMPUR: Perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Petronas Malaysia edisi ke-16 bulan depan bakal memberi satu fenomena baharu kepada peminat-peminat sukan pemotoran. 

Perlumbaan tahun ini dianggap lebih terbuka memandangkan perubahan enjin baharu, V6 turbo 1.6 liter yang digunakan berbanding dengan enjin V8s 2.4 liter sebelum ini. 

Pusingan kedua F1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 28-30 Mac ini sudah pasti menjadikan perlumbaan lebih menarik selepas aksi pertama kali menggunakan enjin baharu itu di GP Australia 14-16 Mac. 

Seperti edisi sebelum ini, SIC bakal menjadi tumpuan peminat-peminat sukan permotoran bukan sahaja tanah air, malah seluruh dunia. 

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, dengan perubahan yang berlaku pada enjin ia ternyata sesuatu yang baharu untuk dilihat.  

"Kami yakin dengan enjin baharu itu, ia bakal memberi kesan kepada kehadiran peminat-peminat ke litar kerana sudah pasti mereka ingin menyaksikan persaingan yang lebih terbuka. 

"Saya menyasarkan tahun ini kita mampu mencatat 125,000 pengunjung ke Sepang dalam masa tiga hari, manakala 90,000 penonton pada hari perlumbaan (Ahad). 

"Tahun lalu, kami mencatat 123,400 pengunjung dalam masa tiga hari dan menyaksikan lebih kurang 30 peratus adalah pengunjung luar negara di seluruh dunia," jelasnya pada sidang media pelancaran Grand Prix Formula Satu Petronas, Ahad. 

Dalam pada itu, bagi memastikan perlumbaan tahun ini lebih rancak, Razlan mengakui pelbagai perancangan dan aktiviti yang disediakan khas untuk peminat-peminat F1. 

"Tahun ini juga kita akan membuka tempat penonton di bumbung selain memberi 50 peratus diskaun kepada penonton yang membeli tiket di kaunter-kaunter jelajah F1 yang dibuka di Pavilion (KL), Penang 27 Feb-2 Mac, Queensbay Mall) dan Johor Bahru (6-9 Mac) serta Sunway Pyramid (14-16 Mac), " katanya. 

Selain itu, persembahan selepas perlumbaan di SIC Helipad oleh Calvin Harris atau dikenali 'Electronic Cash King' yang meletakanya dalam majalah Forbes 2013. 

Manakala konsert terbuka turut diadakan di Plaza Petronas oleh penyanyi-penyanyi terkenal tempatan dan antarabangsa pada 28-29 Mac.

F1, Malaysia, SIC, 2014

Artikel Lain