suria

BAM Tidak Tahu Perjanjian Rashid Dengan Kelab IBL

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek bahawa persatuan itu tahu tentang persetujuan berkontrak yang ditandatangani antara beliau dan penganjur Liga Badminton India (IBL).

Pengurus Besar BAM Kenny Goh berkata badan badminton kebangsaan itu tidak tahu tentang kewujudan kontrak sedemikian dan tidak pernah memberikan keizinan kepada Rashid, pemenang pingat gangsa Olimpik Atlanta 1996, untuk menandatangani kontrak seperti itu.

Beliau berkata, bekas Presiden BAM Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh, yang ketika ini merupakan Presiden Kehormat, turut menyangkal dakwaan Rashid, dan menambah perkara itu tidak pernah dikemukakan ataupun diluluskan dalam mana-mana mesyuarat majlis mereka.

"Selaku Pengurus Besar BAM, saya tidak dimaklumkan mengenai perjanjian berkontrak beliau (Rashid) dengan IBL (yang saya tidak akan benarkan kerana ini akan melanggari perjanjian kami dengan Rashid).

"Kami mengetahui perkara ini apabila dibangkitkan semasa sidang akhbar di Stadium Juara, semalam," kata Goh dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff dalam sidang akhbar pada Jumaat membayangkan kemungkinan tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap Rashid jika terbukti beliau (Rashid) melanggari kontrak dengan persatuan itu dengan menandatangani perjanjian dengan pihak IBL, Delhi Smashers.

Rashid dalam kenyataan balasnya seperti dilaporkan beberapa akhbar pada Sabtu mendakwa pegawai BAM tahu tentang kontrak yang ditandatangani antara beliau dan penganjur IBL.

Dalam kenyataan berasingan, BAM menafikan laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa persatuan itu akan mengeluarkan surat amaran kepada Datuk Lee Chong Wei kerana menyebelahi Rashid.

"BAM menyangkal sekeras-kerasnya kenyataan ini yang nakal, tidak bertanggungjawab, bersifat spekulasi dan tidak memberi motivasi terhadap Datuk Lee Chong Wei yang beraksi dalam separuh akhir Terbuka Jepun Yonex hari ini," kata persatuan itu. - BERNAMA

Artikel Lain