suria

Ahmad Tajudin Jadikan Pengalaman Universiade 2013 Sebagai 'Senjata'

IPOH: Penyerang berbisa skuad hoki kebangsaan, Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil akan menjadikan pengalamannya beraksi di Temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Russia Julai lepas sebagai 'senjata' untuk menghadapi Kejohanan Piala Asia Kesembilan yang akan bermula Sabtu.

Tengku Ahmad Tajudin, 27, berkata, peluang beraksi dengan beberapa pasukan hoki eropah seperti Poland ketika di Kazan merupakan pengalaman berguna bagi dirinya untuk menghadapi Taiwan pada perlawanan pembukaan Piala Asia di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah.

"Walaupun sebilangan besar pemain hoki yang beraksi di Universiade 2013 terdiri daripada pelajar universiti, saya dapat melihat beberapa kelibat pemain kebangsaan negara lain di sana (Kazan).

"Saya dapat mempelajari beberapa perkara baru sepanjang berada di Kazan dan ia merupakan sesuatu yang berguna buat diri saya dan rakan-rakan lain," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Selain Tengku Ahmad Tajudin, dua lagi pemain hoki kebangsaan iaitu Mohammad Razie Abdul Rahim dan Mohamad Sukri Abdul Mutalib turut membantu Skuad hoki Universiade negara menduduki tempat keempat selepas tewas 1-7 kepada Poland pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat temasya sukan universiti terbesar dunia itu.

Tengku Ahmad Tajudin berkata, beliau dan rakan sepasukan lain telah bersedia sepenuhnya untuk menentang Taiwan Sabtu ini.

"Walaupun Taiwan bukan kuasa besar dalam sukan hoki...kita tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka sebaliknya perlu berhati-hati kerana mereka mungkin mempunyai strategi permainan tersendiri yang sukar diramal.

"Oleh itu saya dan rakan-rakan akan sentiasa berwaspada dengan corak dan tempo permainan mereka agar tidak kecundang pada aksi perlawanan pembukaan nanti," katanya.

Tengku Ahmad Tajudin berkata, buat masa sekarang beliau akan memberi fokus seratus peratus pada aksi menentang Taiwan sebelum menghadapi saingan lebih gentir menentang Pakistan pada Ahad (25 Ogos).

Pakistan merupakan juara tiga kali Piala Asia iaitu edisi 1982 di Karachi, Pakistan, 1985 di Dhaka, Bangladesh dan 1989 di New Delhi, India.

"Apa-apa kejohanan sekalipun perlawanan pertama adalah perlawanan penting bagi memastikan pasukan mendapat lebih keyakinan untuk menghadapi perlawanan berikutnya," katanya.

Pada kejohanan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Taiwan, Pakistan dan Jepun manakala Kumpulan B terdiri daripada pasukan Korea Selatan, India, Bangladesh dan Oman. - BERNAMA

Artikel Lain