suria

Barcelona FC Atasi Malaysia 3-1

SHAH ALAM: Kelab sensasi Sepanyol, Barcelona FC mengalahkan Malaysia 3-1 untuk merangkul Piala Cabaran Bank CIMB pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam di sini, malam Sabtu.

Walaupun kelab Liga Primera Sepanyol itu menurunkan hampir kesemua bintang pasukan kecuali Pemain Terbaik Dunia, Lionel Messi, namun terpaksa akur dengan semangat juang skuad Harimau Malaya pada 30 minit pertama perlawanan.

Pemain tengah Cesc Fabregas, yang menjadi rebutan kelab Manchester United musim ini, membuka tirai jaringan skuad Barcelona FC dengan tandukan kemas dalam kotak penalti pada minit ke-34.

Bagaimanapun, anak buah Datuk K. Rajagobal mencetuskan sorakan gemuruh lebih 45,000 penonton apabila Amri Yahyah menyamakan kedudukan dengan jaringan cantik pada minit ke-40.

Dua minit kemudian, bintang penyerang muda Brazil, Neymar, meletakkan pasukan pelawat itu di hadapan dengan jaringan mudah kaki kiri untuk menewaskan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Pada babak kedua, skuad Barcelona FC di bawah jurulatih baharu Gerardo Martino meneruskan tekanan ke atas skuad negara dengan melakukan gerakan kemas sebelum menutup tirai jaringan menerusi tendangan deras Gerard Pique dalam kotak penalti pada minit ke-74.

Pique kemudian dinamakan pemain terbaik perlawanan.

Dalam babak kedua, Rajagobal melakukan beberapa pertukaran pemain untuk memantapkan jentera serangan namun usaha itu gagal membolosi benteng pertahanan Barcelona FC.

Kemenangan tersebut merupakan kedua bagi skuad Eropah itu dalam siri Jelajah Asia 2013/2014 selepas menumpaskan Thailand 7-1 di Bangkok Rabu lepas.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ahmad Shah, menyampaikan pingat dan piala kepada pasukan pelawat itu.

Senarai Pemain:

MALAYSIA: Khairul Fahmi Che Mat (Mohd Farizal Marlias), Mohd Fadhli Mohd Shas, Mahalli Jasuli (Nik Mohd Shahrul Azim), Asraruddin Putra Omar, Mohd Aidil Zafuan Radzak (Putera Nadher Amarhan), K. Gurusamy (Mohd Nazmi Faiz Mansor), S. Kunalan (Mohd Nazrin Nawi), Safiq Rahim (kapten) (K. Reuben), Wan Zack Haikal Wan Nor (Christie Jayaseelan), Amri Yahyah (Mohd Shakir Shaari), Norshahrul Idlan Talaha (Mohd Safee Sali).

BARCELONA FC: Victor Valdes (Jose Manuel Pinto), Gerard Pique (Marc Barta), Javier Mascherano (Bagnack), Sergio Busquets (Alex Song), Jordi Alba (Adriano), Cesc Fabregas (Dongou), Xavi Hernandez (kapten) (Sergi Roberto), Andres Iniesta (Jonathan Dos Santos), Dani Alves (Martin Montoya), Alexis Sanchez, Neymar (Cristian Tello).

Pengadil: Mohd Nafeez Abd Wahab (Malaysia) - BERNAMA

Artikel Lain