suria

Chong Wei Hanya Perlu 35 Minit Untuk Mara Ke Separuh Akhir

GUANGZHOU: Datuk Lee Chong Wei melangkah garang ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia 2013 apabila menang mudah ke atas pemain Indonesia, Tommy Sugiarto di suku akhir di Gimnasium Tianhe di sini, Jumaat.

Jaguh badminton negara itu yang juga pilihan pertama kejohanan, hanya memerlukan kira-kira 35 minit untuk mengenepikan cabaran pemain Indonesia itu dengan 21-6, 21-9.

Lawan Chong Wei pada separuh akhir esok ialah pemain pilihan ketiga, Du Pengyu dari China, yang sebelum itu menewaskan Parupalli Kashyap dari India.

Satu lagi perlawanan separuh akhir adalah antara juara empat kali yang juga juara bertahan, Lin Dan dari China bertemu pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh.

Lin Dan sebelum itu menumpaskan rakan sepasukan yang juga pilihan kedua, Chen Long manakala Nguyen, pilihan ketujuh, menewaskan pemain pilihan kesembilan, Jan O Jorgensen dari Denmark.

Pada pertemuan suku akhir, Chong Wei ternyata terlalu unggul buat Tommy untuk melebarkan kemenangannya kepada tujuh kali tanpa tewas terhadap pemain Indonesia tersebut.

Chong Wei berkata beliau tidak menjangkakan pertemuan dengan Tommy mudah dan berharap momentum itu dapat diteruskan apabila menentang Pengyu, yang sudah pasti mendapat sokongan padu daripada peminat tuan rumah.

"Selepas pusingan ketiga (bertemu Wang Zhengming dari China), saya kembali menemui rentak dan Tommy tidak dapat mengikut corak permainan saya. Saya lebih berkeyakinan (untuk merebut kejuaraan)," katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, Chong Wei menang tujuh kali dan tewas sekali kepada Pengyu, iaitu pada Kejohanan BWF (Persekutuan Badminton Dunia) Super Series di Taiwan pada Disember lepas, apabila beliau menarik diri akibat kecederaan di pusingan awal.

"Saya akan membuat persediaan yang lebih baik dari segi fizikal dan mental bertemu Pengyu kerana sudah tentu perlawanan esok lebih sengit," katanya.

Ditanya mengenai prestasi musuh tradisinya, Lin Dan, Chong Wei berkata pada masa ini, beliau tidak mahu terlalu memikirkan musuh tradisinya itu.

"Saya ada lihat perlawanan antara Lin Dan dan Chen Long. Satu perlawanan yang hebat. Buat masa sekarang saya akan tumpu perlawanan demi perlawanan kemudian (kalau layak) di akhir, saya akan lihat bagaimana (perancangan saya).

"Seperti yang saya telah katakan sebelum ini, kejohanan ini amat penting dan saya akan lakukan yang terbaik," katanya.

Perlawanan separuh akhir akan bermula pukul 12 tengah hari, Sabtu.

Chong Wei merupakan wakil tunggal negara yang masih membawa cabaran Malaysia pada kejohanan itu selepas beregu utama negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong tewas kepada beregu Korea Selatan, Kim Ki Jung/Kim Sa Rang dengan 15-21, 16-21 pada peringkat suku akhir.

Pada Kejohanan Dunia 2011 di Arena Wembley, London, Chong Wei tewas kepada Lin Dan pada perlawanan akhir. - BERNAMA

Artikel Lain