Hanya Chong Wei, Koo-Tan Teruskan Cabaran Malaysia Di Kejohanan Dunia - Sukan | mStar

Hanya Chong Wei, Koo-Tan Teruskan Cabaran Malaysia Di Kejohanan Dunia

GUANGZHOU: Datuk Lee Chong Wei menampilkan aksi terpuji apabila melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia 2013 di Gimnasium Tianhe, di sini, Khamis.

Chong Wei, pemain nombor satu dunia dan pilihan pertama kejohanan, akan berdepan pemain pilihan kelapan, Tommy Sugiarto dari Indonesia di suku akhir, Jumaat.

Dalam aksi pusingan ketiga Khamis, jaguh badminton negara itu tidak berdepan masalah untuk mengenepikan pemain muda China, Wang Zhengming 21-12, 21-7 dalam masa 45 minit.

Chong Wei ternyata berada di kelasnya tersendiri berbanding pemain pilihan ke-14 itu dengan gerakan agresif dan pukulan 'smash' yang kemas untuk memerangkap pemain tuan rumah itu.

Ketika ditemui pemberita, Chong Wei berkata beliau sendiri tidak menjangkakan perlawanan yang mudah menentang Zhengming dan berharap prestasi itu dapat diteruskan apabila menentang Tommy.

"Memang saya ada lihat rakaman video permainan Zhengming sebelum ini. Saya menjangkakan mendapat tentangan sengit daripada beliau yang sudah tentu mendapat sokongan daripada penonton sendiri (China).

"Mungkin beliau gementar kerana terlalu mahukan kemenangan ke atas saya," kata pemain utama negara berusia 31 tahun itu.

Mengenai pertemuan dengan Tommy, Chong Wei berharap dapat memperbaiki lagi permainannya berbanding hari ini kerana prestasi lawannya itu semakin meningkat sejak Terbuka Indonesia, Jun lepas.

"Semasa Terbuka Indonesia, dia (Tommy) kalah kepada Marc Zwiebler (Jerman) (di suku akhir) tetapi kali ini, dia menang. Saya tidak melihat permainannya sebelum ini, tetapi saya rasa prestasinya semakin meningkat.

"Apa pun saya akan berbincang dengan jurulatih dan lihat rakaman video permainan Tommy malam ini," katanya yang berharap dapat merangkul gelaran dunia kali ini, sebagai hadiah kepada ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek yang berkorban tidak bersama-sama keluarga menyambut Aidilfitri tahun ini kerana berada di sini.

Pada Terbuka Indonesia, Chong Wei muncul juara selepas menewaskan Marc Zwiebler di perlawanan akhir.

Dalam pada itu, dua lagi pemain perseorangan lelaki negara terkandas di pusingan ketiga iaitu kedua-duanya kepada pemain handalan China.

Chong Wei Feng, pilihan ke-15, tewas kepada juara bertahan, Lin Dan 20-22, 10-21 manakala Liew Daren terpaksa akur kepada pilihan kedua, Chen Long 18-21, 15-21.

Selain Chong Wei, hanya beregu utama negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong yang berjaya menempatkan diri ke suku akhir apabila menewaskan pasangan Hong Kong, Lee Chun Hei/Ng Ka Long 21-17, 21-7.

Dua lagi beregu lelaki negara terkandas pada pusingan ketiga apabila Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari tewas kepada beregu pilihan keempat, Hiroyuki Endo/Kenichi Hayakawa dari Jepun 19-21, 7-21.

Pasangan Hoon Thien How/Tan Wee Kiong juga terpaksa akur kepada kehebatan beregu China yang juga pilihan kelapan, Cai Yun/Fu Haifeng dengan keputusan 19-21, 13-21.

Cabaran Malaysia dalam acara beregu wanita juga berakhir apabila pasangan Vivian Hoo/Woon Khe Wei tumpas kepada beregu Korea Selatan yang juga pilihan kelapan, Eom Hye Won/Jan Ye Na dengan 16-21, 18-21. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

Artikel Lain