suria

Hubungan Rooney - Man Utd Kini Terumbang Ambing

Wayne Rooney
Wayne Rooney
Wayne Rooney

KALI INI hubungan intim antara Wayne Rooney dan Manchester United benar-benar terumbang ambing.

Pertama, sejurus sebelum musim lalu tamat dua bulan lepas, Sir Alex Ferguson telah menguggurkan pemain England itu dengan alasan, dia tidak berada dalam pemikiran yang tenteram ekoran keputusannya memohon untuk berpindah kelab.

Rooney menjadi tidak tenteram selepas dia digugurkan dalam perlawanan suku akhir Piala Eropah menentang Real Madrid.

Kemudian, Ferguson tiba-tiba mengumumkan persaraannya dan digantikan oleh David Moyes.

Sekali lagi isu Rooney ditimbulkan oleh pihak media kerana semua orang tahu yang Moyes walaupun pernah menjadi orang yang bertanggungjawab mencungkil dan memperkenalkan Rooney ke alam bolasepak ketika di Everton dahulu tetapi pernah menyaman pemain itu.

Rooney disaman ekoran beberapa pendedahan yang dibuat di dalam memoirnya.

Ketegangan itu nampak reda seketika sebaik sahaja Moyes melaporkan diri secara rasmi sebagai pengurus baru United pada 1 Julai dengan menegaskan dalam sidang akhbarnya yang pertama yang United tidak sama sekali akan menjual Rooney.

Rooney kemudian dilihat menyertai semula kem latihan untuk musim baru tanpa sebarang masalah. Moyes menyifatkan kondisi pemain itu berada di tahap yang tinggi ketika memulakan latihan.

Kemudian skuad United berlepas ke Asia dan Australia untuk siri jelajah dan persediaan musim baru.

Di sinilah spekulasi mengenai masa depannya bersama United kembali semula apabila Rooney dihantar kembali ke England sehari selepas mereka tiba di Bangkok.

Alasan yang diberikan ialah pihak kelab tidak menyedari yang kecederaan yang dialami oleh Rooney agak serius dan memerlukan tempoh tiga minggu untuk kembali pulih.

Namun pihak media menghidu sesuatu yang tidak kena dan enggan mempercayai itu adalah alasan utama kenapa Rooney kembali ke London dengan segera.

Mereka kembali mengasak Moyes sebaik sahaja skuad United tiba di Sydney Australia untuk jelajah seterusnya.

Di sinilah segala-galanya bermula. Dalam satu reaksi, Moyes menyifatkan Rooney sebagai penyerang sokongan kepada Robin van Persie bukan sebagai penyerang utama.

"Saya memerlukan Rooney sebagai sokongan sekiranya RVP tercedera atau tidak dapat bermain," kata Moyes sambil menambah yang tidak ada sesiapa pun (pemain) yang lebih penting dan besar daripada Manchester United.

Kenyataan itu sekaligus meranapkan apa jua saki baki hubungan harmoni yang wujud antara Rooney dengan pengurus lamanya itu yang kini kembali sebagai pengurusnya.

Rooney pertama kali merajuk dengan United pada tahun 2010 dengan alasan kelab itu tidak menunjukkan kesungguhan untuk mendapatkan pemain-pemain ternama sebagai pemain baru.

Tiga hari selepas dia mengugut untuk berpindah, Ferguson berjaya memujuknya semula dengan memberikan kontrak baru bernilai £250,000 seminggu - gaji yang diterimanya sehingga sekarang - sekaligus menjadikannya pemain dengan bayaran termahal dalam sejarah kelab itu.

Tetapi kali ini suasananya adalah berbeza. Pada usia 27 tahun, Rooney telah memasuki ke kemuncak kerjayanya sebagai pemain pro dan dia memerlukan suntikan baru untuk terus kekal bermotivasi tinggi.

Nampaknya dia tidak lagi menerima suntikan itu daripada United mahupun pengurus baru. Sebaliknya dia mendapati yang dirinya berada sebagai pilihan kedua pada waktu dia merasakan yang dia telah berada di kemuncak karier.

Sejak kehadiran Robin van Persie, yang dibeli dengan harga £22 juta dari Arsenal, Rooney bukan lagi pilihan automatik dalam senarai kesebelasan utama. Dan ini mengugat keyakinan dirinya.

Ibu kepada segala ketidakyakinan itu muncul apabila Fergie membuat keputusan yang paling mengejutkan dengan menyenaraikan penyerang muda England, Danny Welbeck dan pemain Portugal, Nani menentang Real Madrid Mac lalu. Rooney yang memanaskan bangku simpanan.

Sejak itu, hubungan Rooney dan Fergie tidak sama lagi dan tidak pulih sehingga ke akhir perlawanan liga menentang Swansea di mana dia tidak disenaraikan langsung walaupun dalam barisan pemain simpanan.

Dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu, Ferguson mendedahkan yang Rooney tidak disenaraikan langsung kerana dia telah membuat permohonan untuk berpindah kelab.

Kini Rooney mendapati yang Moyes sendiri menyifatkannya sebagai penyerang kedua selepas RVP.

Boleh dikatakan semua media utama England keesokan harinya telah menyiarkan laporan dengan memetik sumber-sumber yang rapat dengan pemain itu sebagai berkata yang Rooney tidak dapat lagi menerima hakikat yang dia bakal beraksi hanya sekiranya RVP tidak dapat diturunkan.

Dengan pendekatan United yang gemar dengan formasi berlian iaitu 4-3-2-1 dia sedar yang masa depannya bersama United kini berada di penghujung jalan.

Tahun depan adalah tahun Piala Dunia. Tanpa diturunkan sebagai pilihan utama, masa depan Rooney bersama skuad kebangsaan juga akan turut terjejas.

Chelsea telah menunjukkan minat yang mendalam untuk mendapatkan khidmatnya dengan komentar berbaur undangan daripada Jose Mourinho. Begitu juga Arsenal dan Real Madrid.

Dengan juara Perancis PSG dan Monaco yang kaya dengan tunai sudah pun memperolehi penyerang idaman mereka iaitu Edinho Cavani dan Ramadel Falcao, maka hanya tinggal tiga kelab itu sahaja yang akan menentukan hala tuju baru Rooney dalam tempoh beberapa hari ini sementara pintu perpindahan masih terbuka.

Selain dari itu tiada apa yang dapat menghalangnya lagi untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Old Trafford.

CHELSEA, Wayne Rooney, David Moyes

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adidas Gantung Penajaan Gay

Artikel Lain