suria

Chong Wei Jadi Wakil Tunggal Negara Ke Separuh Akhir Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menjadi wakil tunggal negara pada separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Indonesia di Stadium Istora Gelora Bung Karno, Jakarta.

Pada saingan suku akhir pada Jumaat, Chong Wei yang merupakan pilihan utama kejohanan mudah menundukkan pemain Thailand, Boonsak Ponsana dengan kemenangan 21-10 dan 21-7 untuk menempah slot separuh akhir pada Sabtu.

Menanti beliau ialah pemain tuan rumah, Dionysius Hayom Rumbaka yang mara selepas mengejutkan pilihan ketiga kejohanan, Du Pengyu dari China dengan keputusan 21-15, 15-21 dan 21-9.

Harapan untuk menyaksikan satu lagi wakil negara beraksi di pentas separuh akhir tidak kesampaian apabila beregu campuran kelima dunia, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying kalah 15-21 dan 16-21 kepada pasangan tuan rumah, Ahmad Tontowi dan Liliyana Natsir.

Beregu lelaki nombor tiga dunia, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong gagal meneruskan kemaraan selepas terkandas di pusingan kedua, pada Khamis.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita pada kejohanan ini. - BERNAMA

Artikel Lain