suria

Boateng Dijangka Kembali Menjalani Latihan Pada Jumaat

KUALA TERENGGANU: Misteri kehilangan pemain tengah George Boateng yang tidak menjalani latihan bersama pasukan T-Team hampir sebulan lalu terjawab apabila pemain itu dijadual kembali semula pada Jumaat.

Difahamkan bekas pemain Hull City itu telah memaklumkan kepada seorang pegawai pasukan yang beliau memohon cuti tambahan selama 10 hari untuk proses pemulihan kecederaan lutut yang dialaminya sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abd Rasid Jusoh berkata pemain import itu ada menghubungi pegawai pasukan berhubung kelewatannya pulang ke pangkuan pasukan dan memaklumkan akan pulang ke Terengganu selepas selesai menjalani rawatan di England.

Katanya pihak pengurusan sebelum ini membenarkan pemain kelahiran Ghana itu diberi cuti rehat selama 14 hari bagi membolehkan menjalani pemulihan kecederaan lututnya di negara itu.

"Saya harap penyokong tidak membuat sebarang spekulasi dan bersabar kerana saya percaya Boateng seorang pemain yang komited terhadap pasukan dan beliau juga memaklumkan akan pulang ke Terengganu esok," katanya kepada pemberita di pada Khamis.

Menurutnya Boateng juga memaklumkan tidak sabar untuk kembali bersama pasukan untuk mengharungi empat baki perlawanan Liga Super dan mungkin akan membarisi pasukan pada aksi T-Team menentang Felda United pada 21 Jun ini.

Abd Rasid berkata bagaimanpun ia bergantung kepada tahap kecergasan ketika menjalani latihan bersama pasukan.

Mengulas berhubung kedudukan pasukan ketika ini, Abd Rasid berkata, beliau menaruh keyakinan tinggi yang pasukan 'The Titans' mampu terus beraksi dalam Liga Super musim depan meskipun berada dalam zon penyingkiran selepas menghuni tangga ke 11 daripada 12 pasukan.

"Selepas melihat mutu corak permainan yang ditampilkan jurulatih, Eduardo Almeida, saya lihat pasukan ini semakin meningkat dan berharap pertemuan dengan Felda United boleh memihak kepada T-Team.

"Namun masih ada beberapa posisi yang perlu diperkemaskan lagi dan kita masih mempunyai masa untuk berbuat demikian, malah kehadiran semula Boateng pastinya akan menguatkan lagi pasukan menjelang baki empat perlawanan itu nanti," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain