suria

FAM Kaji Kenyataan Terbaru Shahidan Sebelum Ambil Tindakan Lanjut

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengkaji terlebih dahulu kenyataan terbaru bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum mengambil tindakan lanjut.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Ednan Othman berkata pada masa sama, badan induk itu perlu melihat sama ada tindakan boleh diambil terhadap Shahidan atau sebaliknya, memandangkan bekas menteri besar Perlis itu, kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Kita harus melihat posisi beliau (Shahidan sebagai menteri) sebelum mengambil tindakan lanjut...sekiranya tindakan perlu diambil, Jawatankuasa Eksekutif FAM mungkin yang akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Kita juga sedang mengumpul segala bukti mengenai kenyataan beliau (kritikan terhadap FAM) bukan sahaja menerusi laporan daripada Sekretariat FAM tetapi kenyataan akhbar dan sebagainya," kata beliau kepada Bernama di sini Rabu.

Dalam laporan akhbar pada Rabu, Shahidan mencabar FAM untuk memecat terus beliau daripada menganggotai badan induk bola sepak kebangsaan itu dan tidak membuang masa memanggilnya untuk dibicarakan.

Laporan itu turut menyebut bahawa Shahidan menyifatkan undang-undang yang diguna pakai oleh FAM kepada pengkritik mereka sebagai 'tidak siuman'.

Selain digantung 30 bulan, Shahidan turut didenda RM39,000 dan hilang status sebagai Presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga September 2015.

Penggantungan terhadap bekas Presiden PFA itu adalah kerana beliau mengkritik FAM yang enggan membantu pasukan menghadapi masalah kewangan seperti PFA selain menuntut transformasi dalam pentadbiran badan induk itu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dipetik sebagai berkata, beliau menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk menilai sama ada Shahidan wajar dibicarakan selepas mengkritik badan induk itu biarpun dalam tempoh penggantungan selama 30 bulan.

Sementara itu, Azzuddin dalam SMS kepada Bernama pada Rabu berkata, pihaknya tidak mahu memanjangkan isu berkenaan bagi menjaga imej FAM selaku badan pentadbir bola sepak negara.

"Tak wajar saya berbalah dengan menteri melalui media, terima kasih," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain