suria

Velodrom Tertutup: Kepentingan Negara Perlu Diutamakan - Naim

KUALA LUMPUR: Kepentingan negara perlu diutamakan dalam soal penyediaan kemudahan sukan seperti velodrom tertutup kelas satu, kata Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad.

"Kita tidak bolehlah mengutamakan kepentingan sesebuah negeri sahaja. Jika Negeri Sembilan mahu pembinaan velodrom kelas satu di Nilai, mungkin pada masa akan datang, negeri-negeri lain juga akan memohon untuk membina kemudahan yang sama.

"Ini soal kepentingan negara dan logistik. Kita tidak mahu ianya menjadi projek gajah putih pada masa akan datang. Bagi saya, memadai dengan hanya sebuah velodrom tertutup kelas satu di negara ini," katanya.

Beliau mengulas permintaan Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) hari ini, yang mahu kerajaan menimbang semula keputusan membina velodrom tertutup kelas satu di Cheras dan bukannya di Nilai, Negeri Sembilan.

Presidennya Datuk Jamlus Abd Aziz mahu projek pembinaan velodrom tertutup kelas satu itu diteruskan di Nilai seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2013.

Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM80 juta bagi tujuan pembinaan velodrom tertutup itu. Menurut Naim, sebidang tanah yang telah dibeli daripada kerajaan negeri itu boleh dibangunkan dengan kemudahan-kemudahan untuk pembangunan sukan berbasikal yang lain.

"Tanah yang telah dibeli kerajaan itu boleh dibangunkan untuk membina trek untuk acara BMX dan juga acara berbasikal bukit. Kedua-dua acara sukan berbasikal ini juga kian berkembang di negara ini," kata Naim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Berbasikal Trek PKBM.

Semalam, Naim mengumumkan hanya satu velodrom tertutup kelas satu akan dibina Cheras, seperti yang telah diputuskan pada perbincangan antara Kementerian Belia dan Sukan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).-BERNAMA

Artikel Lain