suria

Hanya Satu Velodrom Tertutup Akan Dibina - Naim

KUALA LUMPUR: Hanya satu velodrom tertutup kelas satu akan dibina, kata Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad.

Menurut Naim, beliau dimaklumkan pembinaan velodrom tertutup itu akan dibina di Cheras.

"Saya dimaklumkan perbincangan membabitkan kedua-dua belah pihak iaitu Kementerian Belia dan Sukan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini (Isnin) bersetuju untuk membina hanya satu velodrom berkelas satu.

"Sebelum ini, saya pernah cadangkan supaya hanya satu velodrom dibina bagi mengurangkan kos penyelenggaraan dan peruntukan Belanjawan 2013 untuk membina velodrom tertutup di Nilai (Negeri Sembilan) lebih baik disalurkan kepada negeri-negeri lain untuk pembangunan sukan berbasikal di negara ini," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Belanjawan 2013, memperuntukkan RM80 juta untuk pembinaan sebuah velodrom tertutup di Nilai, Negeri Sembilan.

Selain itu, pihak DBKL juga berhasrat untuk membangunkan sebuah velodrom tertutup kelas satu bagi menggantikan Velodrom Kuala Lumpur yang ada sekarang dan bakal dirobohkan bagi memberi laluan untuk pembinaan projek komersil.

Menurut Naim, jika cadangan pembinaan dua velodrom berkelas satu berkenaan diteruskan, ia akan merugikan banyak pihak kerana mungkin berdepan kekurangan kejohanan untuk dianjurkan. - BERNAMA

Artikel Lain