suria

Contohi Keseriusan Chong Wei Dalam Praktik Sains Sukan - Khairy

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei merupakan contoh atlet bertaraf antarabangsa yang memandang serius aspek Sains Sukan dalam kariernya, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pemain itu satu-satunya atlet negara yang mempraktik Sains Sukan dari sudut psikologi dan fizikal bagi membantunya untuk kekal kompetitif biarpun mencecah usia 30 tahun.

"Ketika di usia 30 tahun, Chong Wei masih lagi boleh beraksi pada tahap yang tinggi. Kesedaran atlet lain tentang Sains Sukan masih lagi rendah. Saya akan bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan sukan untuk menggalakkan lagi aplikasi Sains Sukan, terutama dalam sesi latihan.

"Kita tidak mahu atlet negara menggunakan pendekatan Sains Sukan seperti mengkaji video perlawanan sahaja. Pendekatan ini merupakan permintaan tertinggi dan sering digunakan atlet kita. Sains Sukan melibatkan aspek nutrisi, psikologi dan kondisi fizikal seseorang atlet," katanya selepas melawat ISN pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M.Saravanan dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Shapawi Ismail.

Khairy berkata jurulatih turut memainkan peranan penting dalam menggalakkan aplikasi Sains Sukan kepada atlet terutama ketika sesi latihan.

"Kalau kita cakap soal sukan moden, ia mestilah berdasarkan kepada Sains Sukan, persediaan atlet dari aspek psikologi dan kondisi fizikal perlu diberi tumpuan khusus oleh jurulatih serta atlet," katanya.

Beliau berkata kementeriannya kini di peringkat akhir dalam penyediaan pelan strategik ISN 2013-2020 yang bermatlamat menjadikan ISN bertaraf antarabangsa menjelang 2020.

"Kita akan melaksanakan beberapa penambahbaikan dari segi petugas, kepakaran dan kemudahan yang sedia ada bagi mempertingkat prestasi atlet negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau akan mempengerusikan satu jawatankuasa iaitu program kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelajaran dalam mengenal pasti bakat baharu atlet di peringkat akar umbi.

"Kita akan selaraskan apa jua program yang berkaitan dengan pencarian bakat baharu, terutama ketika sesi latihan setiap sekolah di seluruh Malaysia.

"Ini penting kerana kalau kita tiada program mengenal pasti bakat, kita akan ketandusan pelapis yang baik bagi tempoh sepuluh tahun akan datang," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain