suria

Enam Pelumba Sertai Skuad Berbasikal Negara Ke Myanmar

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan menghantar enam pelumba menyertai skuad lebuh raya negara ke Kejohanan Lebuh Raya Pra-Sukan SEA 2013 di Naypyitaw, Myanmar bermula 21 Mei ini.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata Muhammad Rauf Nur Misbah, Jupha Somnet, Masziyaton Mohd Radzi, Mariana Mohamad, Mohd Ekbar Zamanhuri dan Abdul Rashid Ibrahim akan menyertai kejohanan empat hari itu.

"PKBM turut membuat keputusan tidak menghantar pelumba daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) menyertai acara lepas beramai-ramai atau ujian masa individu (ITT) dan ujian masa berpasukan (TTT)," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

Namun, katanya, Harrif Salleh, Mohd Zamri Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Saufi Mat Senan daripada pasukan TSG masih dalam senarai cadangan untuk menyertai temasya Sukan SEA 2013 pada Disember nanti.

Beliau berkata selain itu, pelumba lebuh raya negara iaitu Mohd Fauzan Ahmad Lufti, Amir Mustafa Rusli, Mohd Nor Rizuan Zainal dan Nik Mohd Azwan Zulkiflie turut digugurkan kerana mereka terlibat pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad ini.

Pelumba Negeri Sembilan, Amirul Anuar pula mengalami kecederaan serius di tangan kiri dan kaki ketika menjalani sesi latihan terakhir TTT bersama jurulatih negara Aminuddin Sulaiman di Alor Gajah, Melaka pada Isnin.

Pelumba wanita, Nurul Suhada Zainal yang masih cedera juga akan disenaraikan dalam skuad berbasikal wanita bagi menyertai acara lepas beramai-ramai sejauh 120 kilometer pada 23 Mei di Myanmar.

Acara ITT 50km lelaki dan ITT 30km wanita akan diadakan pada 21 Mei ini manakala slot TTT sejauh 100km pula pada keesokannya dan acara lepas beramai-ramai elit lelaki sejauh 160km akan menutup tirai kejohanan pada 24 Mei ini.

Abu Samah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Bagi Acara Lebuh Raya Sukan SEA 2013 turut mengharapkan isu logistik dan visa tidak akan menghantui persediaan Kejohanan Lebuh Raya Pra-Sukan Sea 2013 nanti.

Beliau yang juga Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) berkata semua pelumba dan pegawai perlu meneruskan perjalanan lima jam menuju Naypyitaw selepas mendarat di Yangon.

Abu Samah berkata Setiausaha Persekutuan Berbasikal Myanmar (MCF), Kyaw Min Than telah memaklumkan kepadanya bahawa semua negara Asean termasuk Malaysia, sudah pun menerima jemputan penyertaan pada 24 April lalu.

"Bagaimanapun semua negara Asean perlu menghantar semula borang pengesahan penyertaan sebelum atau pada 4 Mei ini kepada MCF. Buat masa ini, setiap negara hanya dibenarkan membawa empat pelumba bukan enam sebagaimana yang ditetapkan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain