suria

Bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan Yahya Jusoh Meninggal Dunia

Yahya Jusoh
Yahya Jusoh
Yahya Jusoh

KUALA TERENGGANU: Bekas pemain bola sepak kebangsaan Yahya Jusoh, 61, meninggal dunia di sini pada Selasa akibat kanser prostat.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah pada kira-kira 4.50 petang.

Anak Allahyarham, Hazim Yatimi berkata sebelum itu, bapanya mengadu sakit setelah demam beberapa hari lepas.

Beliau berkata selepas Subuh tadi, Allahyarham mengadu sesak nafas sehingga memaksanya memanggil doktor datang ke rumah mereka pada kira-kira 9 pagi.

"Sejurus menerima rawatan, doktor menyarankan supaya saya bawa bapa ke hospital kerana keadaannya semakin teruk," katanya ketika ditemui di Taman Permint Jaya Chendering di sini.

Hazim Yatimi berkata meskipun sedih, mereka sekeluarga reda memandangkan Allahyarham sudah lama menghidap penyakit saraf, iaitu sejak 2009.

Yahya, yang merupakan pemain seangkatan dengan lagenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun dan Allahyarham Mokhtar Dahari, meninggalkan seorang balu, Normah Alias, 60, tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki serta tiga cucu.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mencemar duli menziarahi jenazah Allahyarham di rumahnya.

Hadir sama Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu Datuk Che Mat Jusoh.

Sementara itu, Che Mat menganggap pemergian Yahya satu kehilangan besar dalam arena bola sepak negara.

"Allahyarham seorang yang baik, sama ada di dalam atau di luar padang. Saya dah kenal lama dia dan pernah melawatnya sewaktu dia sakit dahulu. Kehilangannya memang amat dirasakan," katanya.

Jenazah Yahya, yang juga bekas tonggak pertahanan Terengganu pada era 70-an dan 80-an, dijangka disemadi pukul 9 pagi Rabu di Tanah Perkuburan Islam Batu Burok di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain