suria

Sukan Sea 2013: Penganjur Digesa Atasi Masalah Logistik

KUALA LUMPUR: Penganjur Sukan SEA Myanmar diminta menyelesaikan beberapa isu logistik secepat mungkin bagi memastikan ia tidak menjejaskan penganjuran temasya dwitahunan itu.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata, pihaknya kerap menghantar peringatan kepada penganjur Sukan SEA Myanmar mengenai masalah logistik, namun jawapan yang diterima adalah mengecewakan.

"Pihak penganjur dalam reaksi balas mereka kepada kita baru-baru ini berjanji untuk menyelesaikannya sebelum temasya sukan itu bemula, namun saya bimbang ia hanya janji semata-mata.

"Contohnya, MOM ada mencadangkan supaya penganjur menyediakan penerbangan terus dari Yangon ke Nay Pyi Taw (venue utama Sukan SEA Myanmar) tetapi mereka kata perlu mempertimbangkan beberapa perkara sebelum penerbangan terus itu dapat dilaksanakan," katanya kepada Bernama hari ini.

Jarak dari Yangon, yang merupakan ibu negara Myanmar, ke Nay Pyi Taw ialah kira-kira 360 km.

Sieh bagaimanapun berkata pihak penganjur telah menyiapkan sebahagian besar venue kejohanan yang dilengkapi teknologi terbaharu.

"Saya difahamkan pegawai teknikal daripada beberapa persatuan sukan kebangsaan kita seperti tinju, kapal layar dan renang turut mengadakan lawatan ke venue kejohanan dan mereka memberi respons cukup positif," kata Sieh.

Edisi ke-27 Sukan SEA dari 11 hingga 22 Dis ini akan berlangsung di beberapa lokasi seperti Nay Pyi Taw, Yangon, Mandalay selain pantai Ngwe Saung.

Sejumlah 33 acara dipertandingkan termasuk olahraga, akuatik, memanah, bola keranjang, badminton, tinju, bina badan, kenu, ekuestrian, bola sepak dan Muay Thai.

Selain itu, penganjur Sukan SEA Myanmar turut mempertandingkan beberapa sukan tradisional iaitu kempo, vovinam dan perlumbaan bot tradisional.

Untuk rekod, Myanmar pernah menganjurkan Sukan SEA pada 1961 dan 1969.-BERNAMA

Artikel Lain