suria

Kingston Lee Bawa Tuah Kepada Saya - Chong Wei

PETALING JAYA: Anugerah Olahragawan Kebangsaan yang digondolnya buat kali keempat malam Selasa merupakan tuah hasil kehadiran cahaya mata sulungnya, kata pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei.

Beliau berkata kehadiran Kingston Lee yang dilahirkan pada 12 April lalu turut memberikannya semangat untuk terus bergiat aktif serta berjaya dalam setiap perlawanan yang disertainya.

"Tuah betul-betul menyebelahi saya ketika ini. Sebaik saja mendapat cahaya mata, saya dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan," katanya kepada pemberita pada majlis Anugerah Sukan Negara 2012 di sini.

Pemain nombor satu dunia ini juga berharap kehadiran Kingston Lee memberikan tuah kepadanya untuk menjuarai kejohanan Badminton Dunia pula.

"Memang menjadi mimpi dan keinginan saya untuk mara ke peringkat final kejohanan Badminton Dunia tahun ini. Saya harap tuah kehadiran anak saya terus menyebelahi saya lagi," katanya.

Kejayaan terbesarnya sehingga layak menerima anugerah tersebut ialah merangkul pingat perak pada temasya Olimpik 2012.

Tahun lalu beliau turut menggondol anugerah yang sama serta pada tahun 2005 dan 2008.

Chong Wei turut berharap dapat menunjukkan mutu persembahan yang lebih baik tahun ini agar terus menjadi Olahragawan Kebangsaan, menyaingi pencapaian empat kali Rashid Sidek, yang kini menjadi ketua jurulatih kebangsaan.

Ratu terjun negara Pandelela Rinong pula dinobat sebagai Olahragawati Kebangsaan 2012, yang turut dimenanginya tahun lalu. Beliau meraih pingat gangsa dalam Sukan Olimpik 2012. - BERNAMA

Artikel Lain