suria

Sukan Perpaduan Islam Medan Pemanas Badan Atlet Negara

KUALA LUMPUR: Temasya Sukan Perpaduan Islam Ketiga yang dijadual berlangsung di Riau, Indonesia awal Jun ini akan menjadi medan pemanas badan buat atlet negara sebelum beraksi di Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata kejohanan di Riau itu merupakan platform terbaik bagi atlet negara sama ada elit atau pelapis mempersiapkan diri menghadapi Sukan SEA serta kejohanan lain tahun depan.

"Disebabkan tidak banyak kejohanan kompetitif tahun ini, atlet negara perlu menggunakan sebaik mungkin peluang ini bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi kejohanan akan datang.

"Mereka (atlet) juga perlu berusaha bersungguh-sungguh memantapkan diri apabila diberi kepercayaan menyertai mana-mana kejohanan," katanya.

Zolkples berkata MSN belum menetapkan jumlah atlet yang akan dihantar ke Riau, namun kontinjen negara pada kali ini dianggarkan hampir sama atau lebih ramai berbanding edisi pertama di Arab Saudi pada 2005.

Di Arab Saudi, Malaysia menghantar 128 atlet dan pegawai untuk menyertai lapan daripada 16 acara sukan dan berjaya membawa pulang lima pingat emas, lima perak dan enam gangsa untuk menduduki tempat ketujuh.

"Selain menghantar atlet pelapis sebagai pendedahan (ke Riau), kita juga akan menghantar atlet elit bagi mempertahankan lima pingat emas yang dimenangi di Arab Saudi," kata Zolkples.

Beliau berkata MSN juga belum menetapkan acara sukan yang akan disertai, namun persatuan sukan badminton, olah raga dan akuatik telah menyatakan kesediaan mereka menghantar atlet ke temasya itu.

Zolkples berkata antara 18 jenis sukan yang dipertandingkan di Riau ialah memanah, bola keranjang, gimnastik, sepak takraw, taekwondo, renang, angkat berat, badminton, bola sepak, pencak silat dan wushu.

Penganjuran Sukan Perpaduan Islam Kedua di Tehran, Iran pada 2010 dibatalkan oleh Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF) apabila negara tuan rumah gagal menyediakan kemudahan sewajarnya.

Idea penganjuran temasya itu tercetus semasa Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)(kini Petubuhan Kerjasama Islam) di Putrajaya pada 2003 yang dipersetujui kesemua 57 negara anggota. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain