suria

All England: Chong Wei Mara Ke Separuh Akhir, Pemain Malaysia Lain Kecundang

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei mara ke perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton All-England lewat Jumaat di National Indoor Arena, Birmingham, United Kingdom.

Chong Wei yang memburu gelaran hatrik selepas menjuarai pada 2010 dan 2011, mara ke separuh akhir selepas dengan mudah mengalahkan pemain pilihan kelapan, Nguyen Tien Minh dari Vietnam; 21-17 dan 21-19 dalam perlawanan suku akhir.

Pada perlawanan separuh akhir, pemain berusia 31 tahun dari Pulau Pinang itu akan bertemu pemain bukan pilihan dari Thailand Tanongsak Saensomboonsuk yang menumpaskan Tommy Sugiarto dari Indonesia, 21-17 dan 21-11 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Beberapa lagi pemain Malaysia terkeluar daripada kejohanan berprestij itu.

Beregu kelab Kuala Lumpur Racquet Club (KLRC), Mohd Zakry Abdul Latif dan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari kalah kepada Liu Xiaolong dan Qiu Zihan dari China 12-21 dan 10-21.

Satu lagi pasangan negara, Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong turut mengalami nasib sama apabila kalah kepada beregu pilihan kelapan Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan dari Indonesia 12-21 dan 16-21 dalam masa hanya 24 minit.

Turut mempamerkan persembahan hambar ialah pasangan beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei yang kalah kepada beregu pilihan keenam, Miyuki Maeda dan Satoko Suetsuna dari Jepun 16-21 dan 13-21.

Semua pemain perseorangan wanita Malaysia kalah dalam pusingan kelayakan manakala dua gandingan beregu campuran negara gagal meneruskan saingan apabila kalah kepada lawan masing-masing pada pusingan kedua pada Khamis. - BERNAMA

Artikel Lain